Tuesday 30 July 2013

Tips-tips 10 malam terakhir

Assalamualaikum kawan-kawan! :)

Hari ini Cik Manis ingin berkongsi tips 10 malam terakhir yang boleh kita sama-sama amalkan sempena dengan penghujung ramadan ini. Semoga kita dapat kekalkan momentum seperti di permulaan puasa. 



Sabda Rasulullah SAW yg bermaksud:
"Pada bulan ini, syaitan-syaitan yang durjana dirantai supaya tidak menggoda manusia ke arah maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadan. Pada malam terakhir Ramadan, (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan". 
Maka, para sahabat bertanya: 
"wahaipesuruh allah, adakah itu Lailatul Qadar?"
dijawab oleh Rasulullah:
"Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya". 
(Riwayat Abu Hurairah)

Di bawah ini pula, Cik Manis kongsikan hadis Rasulullah berkaitan dengan Lailatul Qadar.

Rasulullah SAW bersabda
“Pada saat berlakunya Lailatul Qadar itu, malam terasa jernih, terang, tenang dan cuaca sejuk tidak terasa panas tidak juga dingin. Dan pada pagi harinya matahari terbit dengan jernih terang benderang tanpa tertutup sesuatu awan.” 
  (Hadis riwayat Imam Muslim, Ahmad, Abu Daud dan at-Tirmizi).


Friday 26 July 2013

Menu Cik Manis III

Assalamualaikum & selamat petang kawan-kawan!

Memandangkan sekarang dah nak dekat waktu berbuka, Cik manis ingin kongsikan satu lagi resepi mudah yang boleh dijadikan sebagai pencuci mulut. Resipi hari ini ialah Sagu Gula Merah. Wahh! mesti ada dari kalangan kawan-kawan yang pernah buat kan? 

Bahan-bahan:
Gula merah (dimasak bersama gula pasir) –
1 cawan sagu (dibasuh & ditapis)
5 cawan air
pati ros / apa-apa pewarna yang anda suka
*gunakan cawan yang sama untuk menyukat (sagu & air)
Susu cair

1)      Panaskan air terlebih dahulu selama beberapa minit (jangan sampai mendidih)
2)      Masukkan beberapa titik pati ros / apa-apa pewarna pilihan anda.
3)      Masukkan sagu dan kacau sentiasa. Pastikan api tidak terlalu kuat / terlalu perlahan.
4)      Kacau sehingga sagu betul-betul masak (sampai jernih)
5)      Tutup api. Masukkan ke dalam acuan ‘comel’ biarkan sejuk
 – hidangkan bersama susu cair & gula merah.

*Cik Manis cadangkan supaya kawan-kawan simpan dalam peti sejuk seketika. Rasanya lebih sedap! Selamat berbuka & selamat mencuba ^_^




Wednesday 24 July 2013

Ulasan novel umum: Coklat (yang manis)

Assalamualaikum kawan-kawan.

Hari ini Cik manis ingin kongsikan satu lagi review novel pilihan Cik Manis iaitu ‘Coklat (yang manis) hasil karya John Norafizan. Wah, kenapa tajuknya coklat ya? Semestinya ada ceritanya yang tersendiri. Hmm..kali ini, Cik Manis nak mulakan ‘post’ dengan bercerita serba sedikit tentang penulis novel ini. John Norafizan merupakan seorang penulis yang telah menghasilkan enam buah novel umum, dua siri fantasi remaja dan dua cerpen dalam antologi Kisah Seribu Wajah. Hasil karyanya telah diterbitkan oleh JS Adiwarna. Cik Manis suka dengan gaya penulisan beliau. Sangat bersahaja dan sesuai dengan jiwa Cik Manis yang masih muda remaja ni, hehehehe :)

‘Coklat (yang manis)’, kisahnya bermula dengan seekor kucing siam, koko namanya. Koko merupakan kucing kesayangan keluarga Aliya. Nak dijadikan cerita, Koko telah hilang selepas dipukul oleh Aliya. Emak Aliya telah mengerahnya supaya keluar mencari Koko. Aliya berusaha mencari Koko di merata tempat, namun hasilnya mengecewakan. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk ‘lepak’ di tepi Pantai Mersing. Namun, berlaku satu tragedi yang menyebabkan dia menemui semula Koko yang turut ada bersamanya seorang lelaki yang bersikap sangat sinis pada pandangannya. Pertemuan yang tidak terduga itu telah meletuskan ‘perang mulut’ antara kedua-duanya. Apa yang terjadi selanjutnya? Kawan-kawan boleh dapatkan novel ini di pasaran. Haa, baca sendiri baru ada ‘feel’.
Bagi Cik Manis, secara keseluruhannya novel ini sangat menarik. Penulis berjaya menghidupkan jalan cerita di dalamnya dengan pelbagai konflik yang sering menjadikan pembaca tertanya-tanya. Selain itu, watak Aliya dan kawan-kawannya yang agak ‘gila-gila’ menjadikan novel ini tidak bosan untuk dibaca. Aliya bercita-cita untuk menjadi penulis dan sering ‘berimaginasi’. Dia meluahkan segala khayalannya itu dalam 'buku nota' untuk dijadikan sebagai manuskrip. Selain itu, usai membaca novel ini, banyak pengajaran yang dapat diperolehi pembaca. Antaranya ialah sikap setia kawan, kejujuran, kesetiaan, keberanian dan pelbagai ‘rasa’ yang membuatkan pembaca berfikir sejenak.
Penulis juga berjaya menarik perhatian pembaca dengan memaparkan beberapa stanza, kata-kata serta bait-bait indah yang adakalanya agak kelakar.

         Senyum engkau
         begitu menakjubkan
         Seperti biskut coklat yang aku makan
         malam tadi...

Sememangnya penulis menerapkan gaya penulisan yang bersahaja dari mula hingga akhir. Cik manis dapat kategorikan novel ini sebagai kisah cinta remaja yang masih ‘menjaga’ susila dan bersesuaian dengan cara hidup Timur. Cik Manis kongsikan bait indah yang terdapat di dalam novel ini:
                                                            
           untuk Aliya,
                   Pelangi itu akan jadi lebih daripada tujuh warna apabila engkau ada


Tahniah kepada John Norafizan atas pembikinan novel comel ini!
Selamat membaca kawan-kawan. :)

Tuesday 23 July 2013

Ulasan novel umum: Helo Suami, Hai Isteri

Assalamualaikum 

Hai kawan-kawan. Selamat pagi. Untuk peminat-peminat novel, hari ini Cik Manis nak kongsikan sebuah lagi review novel keluaran JS Adiwarna. Novel kali ini adalah hasil karya Q yang diberi judul Hello Suami, Hai Isteri.
Cik Manis ceritakan serba sedikit kisah di dalam novel ini. Airil dan Shazlin kedua-duanya merupakan anak kepada orang senang. Sentiasa dilimpahi kemewahan dan dimanjakan dengan harta. Ia menyebabkan kedua-dua mereka menjadi terlalu manja dan tidak mampu berdikari. Mereka mempunyai sikap yang hampir sama iaitu kedua-duanya tidak suka bergaul dengan orang lain melainkan keluarga sendiri. Mereka lebih suka terperuk di dalam bilik melayan kegemaran masing-masing. Kisah bermula ketika ibu bapa kepada Airil dan Shazlin berpakat untuk mengahwinkan mereka untuk menjadikan mereka lebih matang dan berdikari. Kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa mereka harus segera dikahwinkan memandangkan usia mereka juga sudah sesuai dan kedua-duanya masih tidak mempunyai teman istimewa. Pada mulanya, Airil dan Shazlin cuba menentang rancangan ibu bapa mereka, tetapi akhirnya mereka terpaksa akur. Mereka tidak mahu mengecilkan hati dan mengecewakan ibu bapa masing-masing. Bermula dari situlah kehidupan mereka sebagai suami isteri. Walaupun saling tidak mengenali sebelum ini, mereka boleh bertolak ansur dan bekerjasama dalam menguruskan rumah tangga. Tetapi pelbagai dugaan dan halangan yang menimpa kehidupan rumah tangga mereka sehinggakan wujud konflik antara Aril dan Shalin. Apabila perasaan sayang sudah mula wujud, hadir pula insan yang dengki. Mahu mengetahui kisah selanjutnya, kawan-kawan harus dapatkan novel Hello Suami, Hai Isteri.

Novel ini banyak memberi pengajaran berguna kepada pembaca. Misalnya mengenai sikap tolak ansur yang penting dalam sesuatu perhubungan. Jika mahukan hubungan yang harmoni, kita harus saling memahami antara satu sama lain. Selain itu, sikap saling mempercayai juga penting antara pasangan. Tanpa kepercayaan sesuatu hubungan itu sukar untuk berkembang kerana kepercayaan merupakan asas kepada perhubungan. Penulis juga menyelitkan mengenai pentingnya untuk taat kepada kedua ibu bapa. Walaupun Aril dan Shazlin tidak bersetuju dengan cadangan ibu bapa mereka mengahwinkan mereka namun mereka akur juga demi menjaga hati ibu bapa mereka. Sikap kedua-dua watak ini harus dijadikan contoh ye kawan-kawan. Jangan kita melawan kata kedua ibu bapa kita kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

Cik Manis berpendapat  novel ini merupakan novel cinta romantik yang sangat sesuai dengan jiwa remaja khususnya pada mereka yang sedang dilamun cinta. Keseronokan cinta di antara Aril dan Shazlin sangat menghiburkan. Penulis juga banyak mengetengahkan istilah-istilah baru khususnya dalam bahasa Korea dan Jepun sesuai dengan kegemaran watak-watak yang meminati cerita Korea dan Jepun. Bagi Cik Manis yang sangat meminati cerita-cerita korea ini, novel ini sangat masuk dengan jiwa Cik Manis. Apa yang penting bagi sebuah novel untuk remaja seperti Cik Manis adalah ia seronok dibaca, mudah difahami dan mampu dihayati. Untuk novel ini Cik Manis beri 4 bintang kepada penulis. Tahniah! Sampai di sini sahaja review kali ini. Selamat berpuasa kawan-kawan 

Khasiat timun

Assalamualaikum & Salam Ramadan kawan-kawan!

Alhamdulillah kita masih lagi diberi kesempatan berada dalam bulan Ramadan. Sedar atau tak, kita telah memasuki fasa kedua Ramadan iaitu fasa keampunan. Jadi, sama-samalah kita rebut peluang & ruang yang masih ada ini.

Haa, hari ini Cik Manis ingin kongsikan beberapa khasiat timun dengan dengan kawan-kawan. Hehe.. mesti kawan-kawan tertanya-tanya kenapa Cik Manis pilih timun kan? Kata orang, timun ni sejuk. Betul ke? Sebenarnya, timun ini banyak khasiatnya. Cik Manis pun baru terbaca dalam sebuah majalah tentang khasiat timun yang dikatakan baik untuk kawalan gula dalam darah.

Antara khasiat timun yang mesti kita tahu:  


  • Amalkan memakan timun setiap hari bagi mengelakkan sembelit.
  • Jus timun amat baik untuk anda yang mengalami gastrik.
  • Jus timun yang dicampurkan dengan perahan lobak merah serta daun saderi boleh mengatasi masalah Artritis, Gout dan Reumatik.
  • Amalkan memakan timun secara mentah ataupun yang telah dimasak - boleh menurunkan berat badan. (buat jus pun boleh)
  • timun juga mampu mengubati penyakit disentri (keluar darah semasa buang air besar).
  • Campuran perahan timun, jus lobak serta salad - mujarab untuk mengubati kudia.
  • Bagi anda yang masih buntu dengan masalah jerawat, cuba parutkan timun dan campurkan dengan kuning telur. Kacau bahan tersebut hingga sebati. Kemudian sapu pada seluruh muka anda. Biarkan selama 20 minit. Bilas dengan air bersih. Amalkan seminggu sekali agar jerawat cepat kering.
  • Bagi anda yang sakit tekak atau hilang suara, ambil timun dan campurkan dengan sedikit garam. Kumur dengan bahan tersebut beberapa kali sehari.

# Sambungan ........... ^_^

Timun merupakan :

1- sumber vitamin B dan C.
2- sumber yang baik daripada vitamin B (boleh ambil sepotong mentimun sebagai snek & rasakan manfaatnya)
3- Kulit mentimun kaya dengan vitamin C (seeloknya, makan timun dengan kulitnya sekali).
4- Mencegah dehidrasi. Kandungan air dari mentimun hampir 95% sehingga dapat membantu mencegah dehidrasi.
Merawat kulit terbakar. Kulit mentimun boleh digunakan sebagai ubat bagi merawat kulit yang terbakar akibat sinar matahari.
5- Merawat kulit gatal. menampal kulit mentimun di bahagian kulit yang sakit lalu biarkan beberapa minit. 
6- Anda yang sering mengalami keletihan mata dan bengkak, tekankan mata dengan mentimun yang dipotong kecil. Buah mentimun mempunyai sifat anti-inflamasi sehingga dapat mengurangkan bengkak. 
7- Boleh menentang kanser. Kandungan lariciresinol, pinoresinol dan secoisolariciresinol  pada mentimun telah terbukti dalam beberapa kajian yang berkaitan dengan penurunan risiko beberapa jenis kanser seperti kanser payudara, ovari, rahim dan prostat.
8- Boleh menghilangkan bau mulut. Ambil sehiris buah mentimun, lalu masukkan ke dalam mulut dan tekan pada lelangit dengan lidah. Biarkan selama 30 minit supaya phytochemcials boleh bekerja membunuh bekteria penyebab bau mulut. 
9- Boleh merawat diabetes dan kolestrol. Jus mentimun boleh membantu pankreas menghasilkan insulin yang baik bagi pesakit diabetes. 
10- Mampu menurunkan kadar kolestrol dan mengatur semula tekanan darah, sama ada darah tinggi atau darah rendah. 

Fuh! banyak kan khasiat timun. Jadi, apa lagi? Mulai hari ini, bolehlah kita jadikan timun sebagai ulam ketika kita makan nanti. :) Semoga 'post' kali ini meberi sedikit input kepada kawan-kawan semua, selamat mencuba!






Thursday 18 July 2013

Motivasi Diri

Assalamualaikum   
Petang ini Cik Manis nak kongsikan sekeping gambar yang mempunyai maksud yang sangat mendalam bagi Cik Manis. Bila Cik Manis tenung-tenung gambar ini, Cik Manis akui kebenarannya. Mungkin ramai antara kita akan terfikirkan perkara yang sama dengan gambar pertama kan?
Kita fikir hidup kita cuma ada dua pilihan iaitu kejayaan dan kegagalan. Apa yang kita usahakan itu akan menentukan sama ada kita berjaya atau gagal. Tapi hakikatnya, hidup tak sebergitu. Kejayaan adalah perkara paling akhir yang datang setelah kita berdepan dengan banyak kegagalan. Itulah yang membezakan orang yang berjaya dengan orang yang gagal. Orang berjaya bukan bermakna dia hebat tetapi orang berjaya adalah orang yang tidak pernah mengenai erti putus asa ketika berdepan dengan banyak kegagalan. 
Jadi, kawan-kawan kita sentiasa kuat berdepan dengan apa pun dugaan. Jangan sesekali putus asa! Percayalah Allah sudah merancang kejayaan yang lebih baik untuk kita. Sama-sama kita fikir dan renung-renungkan :)




Menu Cik manis II

Assalamualaikum & Salam Ramadhan kawan-kawan!

Alhamdulillah, bertemu kita sekali lagi. Hari ini Cik Manis teruja ingin kongsikan satu lagi resipi kepada kawan-kawan. Hari ini Cik Manis kongsikan resipi mudah yang boleh dijadikan sebagai juadah berbuka puasa. Resipi hari ini ialah  Puding Roti Istimewa



Bahan-bahan:

10 keping roti
1 liter susu segar
10 sudu besar gula pasir
kismis (ikut citarasa-boleh letak bahan-bahan lain juga) 
2 biji telur
sedikit esen vanila

Cara menyediakannya:

1- Susun roti yang telah dipotong kecil ke dalam loyang & taburkan kismis.
2- Campurkan susu + gula + telur + esen vanila (kacau rata)
3- Tuangkan adunan ke dalam loyang yang berisi roti tadi dan biarkan roti menyerap.
4- Bakar pada suhu 160 darjah sehingga warnanya keperangan (lebih kurang 40 minit macam tu la..)
4- Potong & siap untuk dihidangkan.


kawan-kawan boleh kongsikan juga resipi-resipi menarik di sini ^_^" 

selamat mencuba & selamat berpuasa kawan-kawan!

Wednesday 17 July 2013

Review 'Alang Rebus Tak Empuk'

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan kawan-kawan 

Hari ini Cik Manis hendak kongsikan sebuah lagi review novel umum keluaran JS Adiwarna. Novel yang dimaksudkan berjudul 'Alang Rebus Tak Empuk' hasil karya Aimi Shabana. Jujur Cik Manis katakan, Cik Manis hanya memerlukan masa beberapa jam sahaja untuk menghabiskan novel ini. Sebabnya mudah, novel ini sangat best! Sesuai dengan jiwa Cik Manis...dan cara penceritaannya sangat sempoi. 

Bagi pendapat Cik Manis, novel ini boleh diklasifikasikan sebagai novel cinta romantik. Itu bagi pandangan Cik Manislah. Mana tidaknya, Cik Manis asyik tergelak sendiri semasa membaca novel ini.  Nampak tidak keseronokan Cik Manis di situ? Alang Rebus Tak Empuk. Pertama kali Cik Manis membaca tajuk novel ini, Cik Manis tak pula meyangka novel ini mempunyai genre sebergini. Ibarat kata pepatah bahasa Inggeris, Don't judge a book by its cover.

Apa beza novel Aimi Shabana ini berbanding novel-novel lain? Jawapannya jelas. Watak dan perwatakan dalam novel ini diberi suntikan berbeza daripada penulis. Penulis tidak menggambarkan watak utama iaitu Shifa sebagai gadis yang terlalu sempurna seperti yang biasa kita baca dalam novel-novel lain. Watak Shifa dalam novel ini hanyalah seorang gadis biasa yang serdahana. Tidak cantik macam model. Tidak juga putih melepak. Tidak ada lesung pipit. Kulit pun tidak selicin jelitawan. Wlaupun tidak digambarkan sebagai wanita yang cantik, Shifa tetap ada 'manisnya' . Shifa bukan hanya manis pada rupa luaran, tetapi manis juga pada akhlak dan sikap. 'Kemanisan' yang ada pada Shifa itulah yang menjadi tarikan kepada insan yang bernama Ziyad. 

Ziyad? Dia seperti watak hero yang lain. Kacak, bergaya, macho dan hampir sempurna. Dia idaman hati Shifa sejak pertemuan pertama lagi. Malangnya, Ziyad sama sahaja seperti lelaki lain. Dia ada taste tinggi dalam menilai perempuan. Tak mainlah perempuan biasa. Dia nak yang hot, cantik, menawan. Sikit pun tidak terdetik di hati Ziyad untuk suka apatah lagi jatuh cinta pada Shifa yang serba kekurangan itu. Ziyad hanya menilai luaran. Bagi dia cantik luaran mampu menyedapkan mata memandang tetapi dia tidak sedar kecantikan sekeping hati lebih penting dari segala-galanya.



Cik Manis ceritakan serba sedikit berkenaan dengan novel ini. Novel ini mengisahkan seorang gadis biasa bernama Shifa yang menjadi peminat rahsia lelaki bernama Ziyad. Namun, dia sentiasa berasa rendah diri untuk meluahkan perasaan disebabkan rupa parasnya yang kurang cantik dan dia sendiri pasti Ziyad tidak akan berminat denganya. Cinta yang bertepuk sebelah tangan ini sangat menyesakkan hati Shifa. Namun, satu peristiwa telah mengubah segala-galanya dalam perhubungan mereka. Daripada kawan yang tidak rapat lama kelamaan mereka semakin rapat dan tercetus perasaan aneh. Peristiwa apa? Bagaimana Shifa mampu menarik perhatian lelaki kacak seperti Ziyad? Dan bagaimana Ziyad boleh mengubah prinsipnya yang dahulunya hanya inginkan wanita cantik kepada Shifa yang serdahana? Kawan-kawan mahu tahu? Apa lagi, dapatkanlah novel 'Alang Rebus Tak Empuk' di kedai-kedai buku berhampiran... :)

Selain tarikan jalan cerita yang menarik, novel ini juga banyak memberi pengajaran kepada pembaca. Pengajaran penting yang Cik Manis dapat daripada novel ini adalah kita tidak boleh menilai seseorang hanya dari luaran. Apa guna mempunyai rupa yang cantik jika hati tidak cantik. Jika hati kita cantik, kecantikan itu akan terpancar di wajah kita. Orang yang melihat juga akan sejuk mata memandang. Tutur kata yang sopan, budi bahasa, tingkah laku dan hati yang baik menjadikan watak Shifa dalam novel ini menarik hati Cik Manis.  Novel ini banyak mengajar Cik Manis erti kecantikan yang sebenar. Terima kasih kepada penulis.

Cik Manis jamin kawan-kawan pasti tidak akan berasa bosan dengan penceritaan yang dilakar penulis. Unsur komedi, romantik dan cinta diolah dengan bijak membuatkan novel ini seronok dibaca. Penulis juga bijak menggunakan bahasa yang sesuai untuk menaikkan suasana indahnya perasaan 'cinta' dalam novel. Akhir kata, Cik Manis mengucapkan tahniah kepada Aimi Shabana atas penghasilan novel yang berkualiti ini. Sampai kita berjumpa lagi dalam review novel akan datang. Assalamualaikum....


Menu Cik Manis I

Assalamualaikum & Salam Ramadhan kawan-kawan!

Hari ini genap seminggu kita menjalani ibadah puasa. Haa, macam mana? Cik Manis harap, kawan-kawan sentiasa bersemangat untuk menjalani hari-hari mendatang di samping memanfaatkan Ramadhan yang hanya berbaki 3 minggu sahaja lagi.

Ermm..hari ini Cik manis ingin kongsikan satu resipi yang sangat istimewa dan  mudah untuk disediakan. Nak tahu resipi apa? Udang masak lemak cili padi bersama rebung. Hee..jom, tengok senarai bahan-bahan di bawah. ^_^

                                                                                   Bahan-bahan:

rebung (jumlahnya, ikut citarasa)
7-10 ekor udang segar
1 ulas bawang besar (dihiris nipis)
sedikit kunyit hidup
1 batang serai
10 biji cili padi
1/2 kilo santan
asam keping (ikut citarasa-nak letak / tak)
garam (secukup rasa)


Cara-cara menyediakannya:

1- tumbuk cili padi + kunyit hidup sehingga halus (nak blend pun boleh) :)
2- tumbuk kasar serai & bawang besar
3- masukkan bahan-bahan yang ditumbuk tadi ke dalam periuk bersama santan + rebung + asam keping
4- masak di atas api yang sederhana (sentiasa kacau)
5- apabila bahan-bahan mula mendidih, masukkan udang & garam. Biarkan seketika kemudian padamkan          api.

Haa..mudah kan?. Mungkin ada dari kalangan kawan-kawan yang tiada idea untuk memasak menu berbuka hari ini. So, Cik Manis harap kawan-kawan sudi untuk mencuba resipi yang dikongsikan. Selamat Mencuba!

Tuesday 16 July 2013

Tips Penjagaan Kanta Lengkap

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan


Hari ini Cik Manis nak bercerita serba sedikit tentang kanta lengkap atau contect lens. Kawan kawan mesti pernah dengar kan? Cik Manis juga merupakan pemakai kanta lengkap ini. Tapi Cik Manis selalu rasa tak selesa memakai kanta lengkap berbanding memakai cermin mata biasa. Bagi pendapat Cik Manis, kalau mahu pakai kanta lengkap ini, kita tak boleh ambil mudah tentang penjagaanya. Sebab kalau kita leka sedikit, banyak resikonya tau. Kawan-kawan tahu tidak tentang beberapa langkah penjagaan kanta lengkap ini? Jom Cik Manis kongsikan :

Langkah pertama: Sebelum pakai kanta lengkap, kawan-kawan wajib pastikan tangan kawan-kawan bersih. Cuci tangan dahulu. Pakai handwash untuk elakkan bakteria atau kuman terkena pada tangan kawan-kawan. Tapi kawan-kawan diingatkan jangan sesekali membasuh tangan mengguna sanitizer. Itu memang cari nahas namanya tu.. 

Langkah kedua: Kanta lengkap ini biasanya digunakan hanya dalam tempoh 8 jam sahaja. Kalau lebih, Cik Manis risau mata kawan-kawan akan merah dan terkena jangkitan kuman. Kawan-kawan juga diingatkan jangan sesekali bawa kanta lengkap tidur. Pastikan sebelum tidur kawan-kawan sudah tanggalkan kanta lengkap ye. Sangat bahaya jika kawan-kawan tertidur bersama kanta lengkap. 

Langkah ketiga: Semasa memakai kanta lengkap, kalau kawan-kawan rasa pedih atau gatal, Cik Manis sarankan kawan-kawan tanggalkan dahulu kanta lengkap itu. Basuh semula kanta lengkap dengan solution sehingga  diyakini bersih

Langkah keempat: Cik Manis cadangkan kawan-kawan pakai kanta lengkap sebelum memakai make up dan tanggalkan kanta lengkap sebelum cuci make up. Ini untuk pastikan kesan make up kawan-kawan tidak terkena mata atau sebagainya. Lagi satu, kawan-kawan harus pastikan air di dalam bekas kanta lengkap kawan-kawan ditukar setiap kali kawan-kawan membukanya bagi mengelakkan pembiakan bakteria. 

Langkah kelima: Cik Manis nak ingatkan satu lagi perkara penting. Kawan-kawan jangan sesekali berkongsi kanta lengkap dengan sesiapa pun. Sangat berbahaya kawan-kawan. Selain daripada jangkitan kuman, kawan-kawan juga boleh terkena penyakit berjangkit. Minta dijauhkan. 

Langkah keenam : Bagi pengguna kanta lengkap ini, mereka kena pastikan kuku dipotong dan sentiasa pendek. Kuku panjang akan menyebabkan pembiakan bakteria dan mungkin juga akan menyebabkan kanta lengkap kawan-kawan terkoyak!

Langkah ketujuh: Selain itu, kawan-kawan harus prihatin terhadap tempoh pemakaian kanta lengkap kawan-kawan. Jangan pakai sehingga tempoh tamatnya kerana dikuatiri beresiko pada mata kawan-kawan. Kebanyakkan kanta lengkap boleh dipakai dalam tempoh 3 bulan dan ada juga setahun. Jadi, kawan-kawan kena tahu tarikh tamat tempoh kanta lengkap kawan-kawan.



Cik Manis harap langkah-langkah penjagaan kanta lengkap di atas dapat membantu kawan-kawan. Jangan takut untuk memakai kanta lengkap ini. Ia selamat selagi kawan-kawan tahu menjaga kebersihan dan tidak leka menguruskannya. Jumpa lagi pada post akan datang. Assalamualaikum kawan-kawan. 

Review- 'straight' /senget?

Assalamualaikum & selamat pagi kawan-kawan!

Semoga kawan-kawan sentiasa ceria dan terus bersemangat menghadapi hari-hari mendatang. Hari ini, Cik Manis ingin kongsikan satu lagi review novel yang sangat menarik. Novel pilihan Cik Manis kali ini berjudul ‘Straight’ / Senget?, iaitu hasil karya Ina Rahim yang juga merupakan salah satu novel umum keluaran JS Adiwarna.

Antara sebab Cik Manis tertarik untuk membaca novel ini adalah  kerana judulnya yang agak ‘pelik’ bagi Cik Manis. Cik Manis tertanya-tanya dan teruja untuk mengetahui bentuk cerita di dalamnya. Secara keseluruhannya, bentuk penyampaian penulis sangat bersahaja dan jalan ceritanya sangat sesuai untuk kita yang manis! Novel ini mengisahkan tentang makna sayang dan cinta, menghargai hubungan antara sahabat dan juga kekasih. Selain itu, pembaca juga akan mula memahami erti kesetiaan dan kejujuran.

Cik Manis ceritakan serba sedikit jalan ceritanya ya? Umumnya, bagi Cik Manis novel ini sangat menarik untuk dibaca bukan sahaja oleh kaum hawa, tetapi juga kaum adam kerana watak utama yang dipaparkan dalam cerita ini adalah lelaki. Sejujurnya, Cik Manis ‘cemburu’ dengan watak Fariq. Fariq merupakan seorang yang sangat menyayangi sahabatnya, Azril. Namun, dia tidak dapat membezakan perasaan sayangnya, iaitu sama ada sayang kerana sahabat atau sayang atas sebab lain. Perasaan tersebut telah menimbulkan pandangan negatif rakan-rakan mereka yang lain. Namun, kehadiran Erza secara tidak langsung mengubah pandangan Fariq tentang erti sayang dan cinta. Dalam diam, Fariq dan Erza masing-masing menyimpan perasaan antara satu sama lain. Bagi Erza, dia tidak layak menyimpan perasaan terhadap Fariq kerana Fariq bukanlah orang sembarangan. Pakej yang dimiliki Fariq lengkap, ada ‘rupa’, anak doktor, dan sebagainya. Untuk mengetahui kesudahan cerita ini, Cik Manis syorkan supaya kawan-kawan mendapatkan novel ini.

Penulis telah menghidupkan beberapa konflik sehingga menimbulkan pelbagai ‘rasa’ dalam diri pembaca. Perasaan marah, sedih, kecewa menjadi satu. Selain itu, penulis juga berjaya mengubah tanggapan pembaca terhadap bidang fotografi. Bidang yang dianggap remeh oleh sesetengah pihak ini telah dirungkai dengan menarik sekali oleh penulis. Kesimpulannya, pembikinan novel ini sangat menarik dan sesuai untuk dijadikan salah satu bahan bacaan kawan-kawan. Tahniah diucapkan kepada penulis untuk cubaan novel pertamanya. Selamat membaca kawan-kawan! :)  



Thursday 11 July 2013

Jom melawat Kuala Selangor

Selamat pagi dan salam Ramadhan kawan-kawan. Hari ini Cik Manis semangat sangat sebab Cik Manis akan pulang ke kampung halaman tercinta. Jadi, Cik Manis nak kongsikan sedikit cerita tentang tempat asal Cik Manis. Kawan-kawan pernah berkunjung ke Kuala Selangor tidak? Kalau kawan-kawan nak tahu, Kuala Selangor merupakan salah sebuah daerah dalam negeri Selangor ni. Jom Cik Manis ceritakan serba sedikit tentang kampung halaman Cik Manis ni :)
Kalau sebut Kuala Selangor, perkara pertama tergambar dalam minda Cik Manis ialah Bukit Malawati. Bukit Malawati ini boleh dikatakan mercu tanda Kuala Selangor.  Mengikut sejarah, Bukit Melawati dahulunya merupakan kubu pertahanan Kesultanan Selangor untuk memantau pergerakan kapal dagang dan kapal perang yang melalui Selat Melaka dan Kuala Selangor. Namun, Pada tahun 1784, Bukit Malawati telah ditakluki oleh Belanda ketika Belanda menjajah Kuala Selangor. Setahun kemudian iaitu pada 28 Januari 1785, Bukit Malawati telah berjaya dirampas semula oleh Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Dato' Penggawa Permatang Mahabijaya. Rampasan tersebut berlaku dalam tempoh hanya satu malam iaitu bermula pada waktu isyak dan berakhir pada waktu subuh. 
Jika kawan-kawan berkunjung ke Bukit Melawati, kawan-kawan pasti terpukau dengan panorama alam semula jadi yang indah. Kawan-kawan juga berpeluang menghayati tinggalan-tinggalan sejarah Bukit Melawati pada era pemerintahan Sultan Ibrahim dan penjajahan Belanda. Terdapat banyak tinggalan-tinggalan sejarah yang terdapat di atas Bukit Malawati antaranya seperti Meriam-meriam Purba, Makam Diraja, Telaga Beracun, Makam Anak Dara, Tangga Seratus, Telaga Tujuh, Batu Hampar, dan Busut Malawati. Setiap satu tinggalan sejarah ini mempunyai nilai dan cerita yang tersendiri yang sangat menarik dan misteri. 
Di atas dan sekeliling bukit itu masih ada meriam purba yang pernah digunakan untuk menghadapi serangan tentera penjajah. Menariknya, setiap meriam di situ mempunyai cerita tersendiri. Benteng atau kota yang digunakan dalam peperangan juga masih pada tempatnya. Batu Hampar dan Telaga Beracun pula merupakan tempat hukuman pesalah ketika zaman dahulu. Berada di puncak Bukit Melawati, kawan-kawan pasti akan terpesona dengan pemandangan delta Kuala Selangor, kawasan hutan paya bakau dan Selat Melaka yang memukau. Hutan bakau itu adalah sebahagian daripada kira-kira 198 hektar Taman Semulajadi Kuala Selangor yang menjadi tempat berkumpul lebih 160 spesies burung.


Di puncak Bukit Melawati juga ada rumah api yang masih berfungsi serta beberapa rumah kolonial British yang masih terpelihara. Selain itu, kawan-kawan juga boleh melawat Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor yang memaparkan pelbagai tinggalan sejarah. Ia asalnya kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor. Muzium itu menghimpunkan segala sejarah berhubung Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran awal Selangor selain menyaksikan bermulanya Institusi Kesultanan Selangor yang diasaskan Raja Lumut (Sultan Salehuddin) pada tahun 1766.

Sambil bersiar-siar mengambil gambar di sudut-sudut menarik terutama pokok yang berusia ratusan tahun itu, kawan-kawan jangan terkejut jika beberapa ekor monyet ´Silver-Leafed´ dan ´Macaques´ berekor panjang mendekati kawan-kawan .Aksi si monyet dan pengunjung yang dikerumuni monyet memang mencuit hati. Ia sekali gus menjadikan percutian ke Bukit Melawati lebih bermakna terutama kanak-kanak. Untuk ke puncak Bukit Melawati, pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri dari hari Isnin hingga Jumaat. Bagaimanapun, Sabtu, Ahad dan cuti umum, pengunjung perlu menaiki trem berdekatan masjid lama Kuala Selangor dengan harga yang sangat berpatutan.


Apa lagi kawan-kawan, jomlah kita berkunjung ke Bukit Malawati Kuala Selangor. Selain dapat bersiar-siar bersama keluarga, kawan-kawan juga dapat menambah ilmu berkenaan sejarah awal negeri Selangor. Terdapat banyak sangat tinggalan sejarah menarik di sana. Mari kawan-kawan. Cik Manis menanti di Kuala Selangor. Kuala Selangor Indah dan Bersejarah :)

kredit : http://www.travelific.my/travelstry_full.php?sid=647
           :http://www.mdks.gov.my/

Jom ubah!

Assalamualaikum & Salam Ramadhan kawan-kawan!

Semoga kawan-kawan sentiasa bersemangat walaupun sedang berpuasa. Hari ini Cik Manis terpanggil untuk 'post' sesuatu yang agak menarik untuk dijadikan ibrah sepanjang Ramadhan dan selepas Ramadhan kelak. Fenomena yang sering berlaku di masjid-masjid dan sudah semestinya kawan-kawan juga sering alaminya bukan? Nak tahu tak peristiwa apa? Teruskan bacaan dalam gambar di bawah ye :)



Walaupun fenomena ini dianggap remeh, namun ianya memberi impak yang sangat besar. Oleh yang demikian, Cik manis berharap kita semua dapat mengambil sedikit ibrah daripada gambar yang dipaparkan di atas. Bertepatan dengan Sabda Rasulullah s.a.w:

"Barangsiapa yang hari ini lebih baik dari kelmarin, dia termasuk dalam kalangan orang yang beruntung, barangsiapa yang hari ini sama dengan hari kelmarin, dia adalah orang yang rugi, dan barangsiapa yang hari ini lebih buruk dari hari kelmarin maka dia termasuk dalam golongan orang yang celaka".

Selamat berpuasa & selamat meningkatkan amalan sempena bulan yang mulia ini :)

Kredit gambar: Oneheart Creative Solution.




Wednesday 10 July 2013

Ramadhan datang lagi

Assalamualaikum kawan-kawan :)


Menjelang bulan Ramadhan yang mulia ini, Cik Manis ingin mengucapkan "Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak" kepada kawan-kawan semua. Semoga bulan yang penuh keberkatan ini dapat diisi sebaiknya. InsyaAllah sepanjang bulan Ramadhan ini, jika ada kelapangan Cik Manis akan kongsikan resepi-resepi berbuka puasa dan resepi biskut atau kek raya khas buat kawan-kawan semua. Sama-sama kita nantikan ye. Akhir kata,  Cik Manis ingin mohon ampun dan maaf kepada kawan-kawan jika ada salah silap sepanjang Cik Manis mengendalikan blog ini. Sampai berjumpa lagi dalam post akan datang. Assalamualaikum :) 


syoknya puasa!

Assalamualaikum & Salam Ramadhan kawan-kawan!

Alhamdulillah, hari ini kita sekali lagi diberi peluang untuk berjumpa dengan bulan Ramadhan. Bulan yang mempunyai seribu hikmah dan pelbagai keistimewaan yang tidak terdapat dalam bulan-bulan lain. Dalam ‘post’ kali ini, Cik Manis ingin kongsikan video yang memaparkan pandangan salah seorang artis Malaysia berkenaan dengan perasaannya menyambut kedatangan Ramadhan. Walaupun video ini bukanlah dihasilkan pada tahun ini, namun sebagai umat Islam seharusnya kita jadikannya sebagai iktibar dan input untuk kita bermuhasabah kembali. Semoga kita sama-sama dapat menghidupkan bulan ini dengan niat untuk menggapai redha-Nya.. :)



Kredit: Oneheartcs Creative Solution.

Friday 5 July 2013

Jom hidupkan sunnah!

Assalamualaikum & selamat pagi kawan-kawan!

Sempena hari Jumaat, hari ini Cik Manis ingin kongsikan salah satu sunnah yang patut kita amalkan. Untuk pengetahuan kawan-kawan, memotong kuku juga merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. Mungkin ramai dari kalangan kita telahpun mengetahuinya, tetapi berapa ramai yang mengambil peluang untuk hidupkan sunnah ini?

Berdasarkan kepada beberapa artikel yang telah dibaca, terdapat 3 hari yang disunatkan untuk kita memotong kuku iaitu hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Nak tahu apa kelebihannya? J

      ü  Isnin – keluar gila serta penyakit dan masuk sihat
      ü  Khamis – keluar penyakit dan masuk penawar
      ü  Jumaat – keluar dosa masuk pahala dan rahmat

**hari yang paling afdhal antara ketiga-tiga hari di atas ialah hari Jumaat.

Haa...macam mana pula dengan hari-hari lain? Tak boleh potong kuku ke? Boleh, tapi ianya dikira makruh. Nak tahu sebab apa?

     Ø  Selasa – keluar sihat dan masuk penyakit
     Ø  Rabu – keluar was-was dan masuk kepapaan
     Ø  Sabtu – keluar dari tubuhnya ubat dan masuk penyakit
     Ø  Ahad keluar kekayaan dan masuk kemiskinan

Walau bagaimanapun, tidak ada hadis sahih berkenaan persoalan memotong kuku mengikut hari-hari tertentu. Tetapi, pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat adalah hari yang diutamakan untuk melakukan ibadah sunat.
Menurut riwayat Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w memotong kuku dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum baginda keluar untuk bersolat. (Riwayat al-Bazzar dan al-Tabrani)

Selain ikut hari, kita juga perlu buang kuku pada tempat yang tidak kotor sebagaimana yang telah diajar, eloklah buang ke tanah kerana kita juga berasal daripada tanah. Potong kuku ikut sunnah, ada caranya ye kawan-kawan. Di sini Cik Manis kongsikan dalam bentuk gambar (dalam google jugak ni, hihihi ^_^) bagi memudahkan kawan-kawan mengingatinya. Jangan lupa mulakan memotong kuku dengan bismillah dan selawat keatas Nabi.

Cik Manis hanya ingin mengingatkan kembali walaupun ramai dari kalangan kawan-kawan yang telahpun hadam tentang perkara ini. Diharapkan, kawan-kawan tidak kecewa untuk ‘post’ kali ini, selamat beramal.. J Jom hidupkan sunnah!



Thursday 4 July 2013

Akibat memandang rendah??

Assalamualaikum kawan-kawan!

Cik Manis ingin kongsikan sesuatu yang menarik untuk sama-sama kita fikirkan untuk hari ini dan hari-hari seterusnya!

# Sesiapa yang memandang rendah kepada ulamak, maka rugilah agamanya
# Sesiapa yang memandang rendah kepada pemimpin maka rugilah dunianya
# Sesiapa yang memandang rendah kepada jirannya, maka hilanglah manfaatnya
# Sesiapa yang memandang rendah kepada keluarganya maka hilanglah kemanisan hidupnya
# Sesiapa yang memandang rendah kepada kaum kerabatnya maka rugilah kecintaannya


Renung-renungkan ye! :)


Review - Gadisku Wan Adnin

Assalamualaikum dan selamat pagi semua :)

Hai semua!...Bertemu lagi kita pada hari Khamis yang ceria ini. Hari ini Cik Manis nak kongsikan dengan kawan-kawan berkenaan dengan satu novel yang baru Cik Manis habis baca malam tadi. Novel keluaran JS Adiwarna hasil karya Noor Suraya ini berjudul Gadisku Wan Adnin. Cik Manis sungguh teruja membaca karya penulis ini dan setelah selesai 313 muka surat, ia nyata tidak mengecewakan. 

Cik Manis sangat kagum dengan cara penulis bermain dengan bahasanya. Dari kulit hadapan hingga kulit belakang, Cik Manis dapat rasakan penulis seorang yang hebat dalam berbahasa. Mana tidaknya, setiap idea dan jalan cerita dalam novel ini dihiasi dengan kata-kata yang indah, bahasa yang tersusun dan puitis. Cik Manis melihat novel Gadisku Wan Adnin sebagai sebuah novel yang mempunyai bahasa yang   hebat dan jalan cerita yang menarik.

Kisah dan jalan cerita dalam novel ini sangat berbeza dengan novel-novel lain di pasaran. Seperti kawan-kawan tahu, akhir-akhir ini banyak novel hanya berkisarkan tentang percintaan, perkahwinan paksa, perkahwinan kontrak, kisah benci menjadi sayang dan seumpamanya. Semuanya hanya berkisarkan tentang cinta, cinta dan cinta. Namun, kisah cinta di dalam novel ini bukan hanya cinta kepada kekasih tetapi cinta dan ketaatan kepada orang tua yang menjaganya. 

Cik Manis ceritakan serba sedikit kisah Gadisku Wan Adnin ini. Watak utama iaitu Wan Adnin merupakan seorang gadis yang baik, naif, sopan dan sangat taat kepada neneknya, Wan Suhaidah. Namun, Wan Suhaidah bukan seperti nenek yang lain. Beliau bersifat terlalu protektif dan berpendirian. Wan Suhaidah mementingkan darjat dan keturunan. Beliau terlalu memilih berkenaan jodoh untuk cucunya itu. Banyak risikan dan lamaran ditolak mentah-mentah hanya kerana darjat dan darah yang tidak setaraf dengan Wan Adnin. Darah bangsawan yang kononnya mengalir dalam badan Wan Adnin perlu dijaga dan tidak dicemari oleh lelaki yang tidak setaraf. Itulah prinsip Wan Suhaidah. Namun, sejak munculnya Akhtar, banyak perkara telah berubah. Akhtar telah berjaya mengubah hati Wan Adnin dan membuatkan Wan Adnin gila bayang. Namun, ia tidak sesekali mengubah ketaatan Wan Adnin terhadap Tok Bondanya itu. Wan Adnin terpaksa mengalah dengan pilihan Tok Bondanya, Raja Izhar. Wan Suhaida percaya Raja Izhar merupakan calon suami terbaik untuk cucunya. Namun, sangkaannya meleset apabila pernikahan yang diharap tidak seperti yang dirancang. Tragedi dihari penikahan Wan Adnin membuatkan Wan Suhaidah sedar bahawa cucunya itu bukan patung yang tidak memiliki perasaan. Daripada saat itu, Wan Suhaida mula menerima pilihan cucunya dan kesal akan sikapnya yang lalu. 

Bagi pendapat Cik Manis, kisah Gadisku Wan Adnin ini sangat menarik untuk dibaca. Banyak pengajaran yang kawan-kawan boleh perolehi. Pengajaran yang paling jelas dalam novel ini adalah tentang sikap bermegah dengan harta dan keturunan. Siapa kita untuk bersikap demikian. Kita hanya manusia biasa yang sama disisiNya. Yang membezakan kita hanyalah iman dan taqwa :) 

Penulis juga kreatif dalam memberi maklumat tambahan kepada pembaca. Dalam novel ini juga, penulis banyak menyelitkan info-info sejarah terutamanya berkenaan sejarah Kedah dan Siam serta tentang bunga emas dan perak. Penulis juga menceritakan serba sedikit berkenaan asal usul Kuih Bulan yang Cik Manis rasakan sangat menarik. Bagi Cik Manis, info-info tambahan ini sangat bermanfaat dan dapat memberi pengetahuan baru kepada pembaca. Sambil-sambil berfantasikan kisah cinta antara Adnin dan Akhtar, pembaca juga dapat menambah ilmu.

Cik Manis mengucapkan syabas kepada Noor Suraya atas penghasilan sebuah karya yang menarik ini. Mungkin selepas ini, banyak lagi karya-karya Noor Suraya yang akan Cik Manis review dalam blog ini. Apa kata kawan-kawan jinak-jinakkan diri dengan karya-karya beliau. Cik Manis jamin, kawan-kawan tidak akan kecewa. Sampai bertemu lagi dalam post akan datang. Assalamualaikum dan selamat membaca kawan-kawan :)


Wednesday 3 July 2013

Daun Semalu

Assalamualaikum dan salam sejahtera :)

Hari ini Cik Manis ingin kongsikan sebuah sajak yang dikirimkan oleh kawan Cik Manis. Sajaknya berjudul 'Daun Semalu'. Jom kawan-kawan, kita hayati kisah dan makna yang tersirat disebalik sajak ini.


Sinaran di wajahmu
Bagai dedaun semalu
Terbayang riangnya
Sembunyi dukanya

Semalu yang berduri
Tewas kalau hampiri 
Sekadar sang bayu
Menghiburkan salju 
merunduk layu ..begitu kekasihku

Ke mana di mana hilangnya

Cintamu membara di hati
Dan ketika mendengar nun jauh
Bayangan ku tembus di ingatanmu
Di awangan cinta kau bersenda
Yang suci disentuhi
Kilauan permata
Tergoda kau menjadi peluru 
Aku mangsa mu kasih

Ke mana di mana hilangnya

Cintamu membara di hati
Dan ketika mendengar nun jauh
Bayanganku tembus di ingatanmu
Di awangan cinta kau bersenda
Yang suci disentuhi
Kilauan permata
Tergoda kau menjadi peluru 
Aku mangsa mu kasih

Semalu oh cintaku
Cintaku yang terpaku
Ku ukir bayanganmu
Kembara jalanan
Menjadi kenangan

Oleh : Teh Zakaria, Kuala Kangsar, 2013.