Tuesday 27 August 2013

Ulasan novel umum: Urusan Cinta Belum Selesai

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera kawan-kawan!

Petang ni, Cik Manis ingin kongsikan satu lagi review novel yang telah Cik Manis baca iaitu, Urusan Cinta Belum Selesai. Hmm..dengar tajuknya pun sudah tahu pasti menarik jalan ceritanya. Novel ini merupakan hasil karya saudara Imaen yang mengandungi 357 muka surat. Ternyata, novel ini tidak mengecewakan Cik Manis bermula daripada muka surat pertama lagi. Ia merupakan sebuah novel cinta yang bukan seperti novel cinta yang biasa-biasa. Banyak input yang diselitkan di dalamnya membuatkan pembaca berfikir sejenak, tersentap seketika, terharu dan yang paling penting, teruja untuk menghabiskan bacaan. Sungguh! Jujurnya, Cik Manis sangat suka gaya penyampaian penulis. Walaupun prolognya bermula dengan sejarah Sungai Petani, yang dikatakan lebih hampir dengan Pulau Pinang itu, ternyata susun ceritanya tidaklah seperti buku teks Sejarah waktu sekolah dulu, sangat menarik! Tapi, bukan pada bahagian prolognya sahaja penulis menulis bab sejarah ni, juga diselitkan pada bab-bab lain. Selain itu, mungkin gaya penulisan penulis yang 'kena’ dengan jiwa Cik Manis membuatkan Cik Manis memilih menghayati setiap bait perkataan yang digunakan penulis. Bagi Cik Manis, gaya penyampaian penulis berbaur sindiran ringan, terutama sekali mengenai politik. Sebagai pembaca, kita akan bermonolog sendiri dengan pendapat yang dikemukakan penulis sama ada mengenai politik mahupun cinta! ‘mari kita raikan perbezaan (pendapat) antara kita’, katanya.

Permulaan jalan ceritanya ala-ala novel thriller yang pernah Cik Manis baca sebelum ini iaitu karya-karya Dan Brown. Sebenarnya, apa yang digambarkan penulis pada permulaan cerita memang telah pun berlaku di negara kita sekarang. Adegan tembak-menembak kini seolah-olah menjadi perkara biasa dalam masyarakat. Motif sebenar peristiwa ini langsung tidak diketahui. Apabila membaca novel ini, Cik Manis berpendapat mereka yang terlibat juga sekadar suka-suka untuk melakukan aksi tembak-menembak seperti yang telah diceritakan di dalam novel ini. Ini tidak mustahil! Sememangnya, pemikiran penulis lebih terkehadapan berbanding novel-novel popular yang pernah Cik Manis baca sebelum ini. Dalam 'review' kali ini, Cik Manis tidak bercadang untuk ceritakan serba sedikit jalan cerita didalamnya kerana kawan-kawan boleh membacanya di laman web JS Adiwarna iaitu pada bahagian e-resensi novel. :)

Antara yang menarik dalam novel ini adalah nama watak heroin yang digunakan penulis iaitu Cinta. Hahaha... menarik, bukan? Mengapa ya penulis memilih nama Cinta sebagai salah satu watak utama di dalam novelnya? Memetik kata-kata penulis dalam novel ini, perkataan ‘cinta’ mungkin antara perkataan yang paling banyak terdapat dalam kebanyakan novel Melayu. Kebanyakan judul-judul novel pasti ada perkataan ‘cinta’. Itu belum lagi kalau diselak di halaman-halaman seterusnya. Barangkali, strategi pemasaran kut. Jadi, dengan menggunakan nama Cinta sebagai watak utama, penulis bebas menggunakan perkataan itu secara berleluasa. Huh! urusan cinta belum selesai dan takkan pernah selesai pun, terutama urusan cinta dengan-Nya. Bagi kawan-kawan yang belum lagi membaca novel ini, bolehlah dapatkannya di pasaran. Selamat berurusan dengan cinta! ^_^"


Assalamualaikum kawan-kawan...

Wah! Lama benar Cik Manis tinggalkan blog ni. Cik Manis harap, kawan-kawan sentiasa ceria dan berada dalam redha-Nya. Sebelum Cik manis berceloteh dengan lebih panjang, rasanya masih belum terlambat untuk Cik Manis ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin. Masih ada masa lagi untuk kita sama-sama menghabiskan puasa sunat dalam bulan Syawal ini. Hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Ayyub al-Ansari, iaitu dalam menerangkan kelebihan puasa enam Syawal yang bermaksud:


 “Sesiapa yang berpuasa Ramadan, kemudian diikutinya puasa enam hari Syawal samalah seperti dia berpuasa sepanjang tahun”.

Jadi, sama-samalah kita menggandakan lagi amalan walaupun bulan Ramadan telah berlalu. Jadikan Ramadan sebagai medan tarbiah yang dapat dijadikan ibrah dalam menghadapi bulan-bulan seterusnya. =)