Tuesday 18 February 2014

Piknik Adiwarna II



Pada 9 Februari 2014 lalu, bertempat di Taman Putera Perdana, Presint 1 Putrajaya, pihak Adiwarna telah menganjurkan Piknik Adiwarna kali kedua. Piknik kali ini mempunyai tema yang menarik, iaitu sembang-sembang santai mengenai antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari.

Ramai yang sudah tahu, antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari terbitan Adiwarna ini mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan daripada pembaca. Dalam naskhah yang cantik ini terdapat 40 buah cerpen yang muatkan hasil tulisan 37 orang penulis berbakat.



Acara dimulakan dengan ketibaan para tetamu dan jemputan pada jam sembilan pagi. Selepas sesi pendaftaran, tetamu dihadiahi cenderahati. Kemudian, tetamu dialu-alukan untuk menjamu selera dengan makanan yang disediakan oleh pihak Adiwarna sambil duduk bersembang santai di atas rumput beralas kain.



Piknik Adiwarna kali dipengerusikan oleh Cik Nur Kamalia Ramlan. Sebelum memulakan acara sembang tentang Kerana Dia, Ratu Sehari, Encik Adzhar telah mengetuai pembacaan doa. Kemudian, sesi pertama yang melibatkan bahagian Editorial Adiwarna dimulakan. 

Pembentang pertama ialah Puan Noor Suraya yang merangkap penyelenggara antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari. Puan Noor Suraya membentangkan bagaimana proses pemilihan cerpen-cerpen dalam antologi tersebut dilakukan. Daripada 150 buah cerpen yang diterima, hanya 40 buah cerpen yang berjaya dipilih dan dimasukkan ke dalam antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari ini.


Kemudian, Encik Mohd Rosdi Mohd Zin selaku Editor Adiwarna membentangkan tentang proses penyuntingan untuk cerpen-cerpen yang telah terpilih. Ia diikuti dengan pembentangan daripada Eksekutif Kanan Grafik Adiwarna, Puan Norfadillah tentang reka bentuk kulit dan reka letak antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari. 



Sesi pertama ini bertambah menarik apabila ia turut diselang-seli dengan pelbagai soalan dan pendapat daripada para tetamu yang hadir. 

Sesi kedua pula ialah sesi khas penulis. Beberapa orang penulis yang menulis cerpen untuk antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari berkongsi idea dan pendapat mengenai cerpen masing-masing. Antaranya, Pingu Toha, Bihurrun Ain dan Scha. Pertanyaan dan pendapat yang dilontarkan kepada para penulis menjadikan sesi ini bertambah meriah. Di sinilah para penulis dapat bercerita dengan lebih mendalam lagi tentang bagaimana tercetusnya idea mereka menulis cerpen-cerpen tersebut.



Sesi ketiga pula ialah sesi umum di mana terbuka para tetamu untuk bertanya soalan atau memberi pendapat tentang antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari. Pihak Adiwarna juga menganjurkan sesi cabutan bertuah dan mengedarkan borang kaji selidik kepada tetamu yang hadir. 

Selepas sesi sembang-sembang santai Kerana Dia, Ratu Sehari berakhir, para tetamu diajak untuk bergambar beramai-ramai serta menjamu selera sekali lagi sebelum bersurai.  Pihak Adiwarna turut mengadakan jualan ‘car boot sale’ untuk buku-buku terbitan Adiwarna dengan diskaun sebanyak 30%.

Acara berakhir kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Pihak Adiwarna ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir bagi menjayakan piknik ini. Insya-Allah, jika berkesempatan kita akan bertemu lagi pada lain masa.