Wednesday 25 June 2014

Tips-tips Menulis Karya Fiksyen

Selamat pagi.



Menulis fiksyen bukanlah satu perkara yang mudah seperti yang disangka oleh sesetengah orang. Betapa imanginasi, fakta, kerja keras serta kesungguhan yang mendalam diperlukan untuk menyiapkan sesebuah karya. Pelbagai cara yang dilakukan oleh para penulis untuk mendapat idea. Ada yang membaca, menonton filem, mendengar muzik atau memerhatikan keadaan sekeliling. 

Di bawah ini adalah beberapa tips yang diberikan oleh beberapa penulis terkenal dunia yang mungking boleh dijadikan panduan:


  1. Banyakkan membaca tidak kira apa genre pun yang kita tulis. Luaskan pembacaan bukan pada satu genre saja. 
  2. Berikan ruang dan masa untuk anda menulis.
  3. Perkenalkan watak-watak utama dalam cerita anda di awal 1/3 novel anda.
  4. Kadang-kadang anda tak perlu rancang pengakhiran cerita anda semasa merancang idea.
  5. Sentiasa membawa buku nota untuk melakar cerita anda di mana-mana.
  6. Menulis di tempat yang tiada perhubungan Internet.
  7. Tulislah apa yang dekat di hati anda.
  8. Jangan panik apabila idea tiada. Ambil masa untuk tenangkan diri seketika.
  9. Jadilah editor dan pengkritik pada karya sendiri.
  10. Terbuka menerima pandangan atau kritikan daripada orang lain. Mereka mungkin benar.

Jika anda ada tips-tips lain untuk dikongsi atau tidak bersetuju dengan tips di atas, jangan ragu-ragu untuk berkongsi di ruangan komen, ya!

Sumber: 20 Writing Tips from Fiction Authors.


Tuesday 24 June 2014

Edisi Pembuka Selera: Dunia Belum Berakhir (Aimi Shabana)

NOVEL UMUM DUNIA BELUM BERAKHIR (AIMI SHABANA) AKAN DITERBITKAN PADA JULAI 2014 :)






BAB 1
(Bahagian pertama)


Taman Seri Cempaka sudah memulakan harinya. Anak-anak sudah pun berangkat ke sekolah. Ibu bapa yang bekerja mulai bergegas menuju ke tempat kerja masing-masing. Para surirumah pula ada yang sedang menyidai kain di ampaian di bawah bumbung rumah. 

Pagi ini, hujan turun lagi membasahi bumi. Sudah seminggu macam ini. Mujurlah teknologi sekarang ni membolehkan manusia mengeringkan baju dengan cepat. Tak adalah susah sangat nak mencuci pakaian ketika musim yang basah macam sekarang ini.

Ada juga ibu-ibu yang sudah mula bersilat di dapur. Dari pintu rumahnya, Yasmin dapat menghidu aroma bawang merah dan bawang putih yang ditumis. Wanginya sampai membuatkan perutnya yang masih belum bersarapan berkeroncong dengan pelbagai irama. Ada juga ibu-ibu yang sedang sibuk melayan dan memujuk anak-anak untuk bersarapan.

Semuanya sibuk dengan urusan masing-masing.

Beberapa buah rumah kelihatan senyap dengan pintu yang tertutup rapat. Di hujung sana tu rumah sewa Yana dan kawan-kawannya. Mereka semua tu pekerja kilang di Kamunting. Mereka baru pulang ke rumah pada pukul tujuh pagi tadi setelah habis shift malam. Agaknya, sekarang kesemua mereka sudah beradu di atas tilam masing-masing. Jadual yang agak berlainan dengan penduduk-penduduk yang lain. Malam bekerja, siang pula tidur.

Yasmin berdiri di depan pintu yang ternganga luas. Kedua-dua tangannya memegang gril pintu. Dah rupa macam banduan yang sedang merenung nasib di dalam lokap. Matanya dihalakan ke arah hadapan, merenung ke arah jalan.
Hujan turun semakin lebat. Suasana sekitar nampak segar seperti lukisan yang warnanya masih basah dan belum kering. Daun-daun menghijau dan jalan tar pula nampak hitam seperti baru sahaja diturap. Mandi sakan bumi pada pagi ini. Segar-bugar alam jadinya.

Mata Yasmin jatuh pada deretan pasu yang dia susun di tepi pagar. Ada lima pasu kesemuanya di situ yang disusun dalam satu barisan lurus. Ada pokok serai, ada juga pokok pandan, daun kari, ulam raja dan cili padi. Semua tanaman tu, mak dialah yang tanam. Yasmin cuma angkut pasu-pasu itu ke rumah sewanya bila pokok-pokok itu sudah besar saja.

Kata mak, boleh juga jimat duit dapur. Tak perlu lagi nak pergi beli di pasar sehari.
Cara mak bercakap tu macamlah Yasmin ni rajin sangat turun ke dapur kan?

Setakat nak makan seorang saja. Buat apalah nak penat-penat memasak. Selepas itu nak kena cuci periuk belanga lagi. Alahai. Baik beli sajalah di kedai makan. Lebih praktikal. Tinggal nak tuang dalam mangkuk atau pinggan, lepas itu boleh terus ngap masuk mulut. Jimat masa dan tenaga walaupun amalan itu akan membuatkan poketnya kian menipis. Tapi, tak apalah. Di Taiping ini, harga makanannya masih boleh tahan lagi. Tak adalah mahal sangat macam di bandar-bandar lain. Lagi pula, Yasmin ni pun bukanlah termasuk di dalam kategori manusia yang kuat makan. Kira praktikal jugalah amalannya tu.

Sudahnya, tanaman pemberian mak menjadi sumber bahan masakan untuk jiran-tetangga sahaja. Makcik Senah dan Makcik Jamilah yang duduk di kiri dan kanan rumah dia ni rajinlah meminta pada Yasmin. Yasmin pun tak kesah. Dia beri saja dengan ikhlas. Moga-moga pahala sedekah ni dapatlah pada mak dia yang susah-payah menanam tu.

Yasmin melangkah menjauhi pintu yang terbuka lebar. Dia menuju pula ke sebuah meja kecil yang terletak tidak jauh dari televisyen 21 inci yang berwarna hitam berkilat. Dia duduk di atas sebuah kerusi rotan di situ. Di atas meja di hadapannya, sudah siap tersaji sarapan ringkas yang dia sediakan sebaik usai solat subuh tadi.

Dia mengangkat cawan. Kopi 3 dalam 1 yang masih berasap itu dicicipnya sedikit. Yasmin memang suka minum sewaktu air sedang berasap. Dia tak berapa suka minum air yang sudah sejuk. Kira kalau kopi semalam macam yang Cikgu Shaari minum dalam filem Masam Masam Manis tu memang Yasmin tak berapa nak lalu.

Cawan tadi diletakkan semula dan Yasmin mencapai pula sandwich berinti keju, hirisan tomato, sos cili dan hirisan sosej yang dibakar di dalam ketuhar gelombang mikro.

Dia kembali merenung keluar sambil mengunyah sarapannya perlahan-lahan.
Sesekali matanya menjeling ke arah telefon bimbit yang dia letak di atas meja.

Alahai telefonku sayang. Kenapalah kau senyap sahaja ni? Berbunyilah dikau agar hati aku yang gundah ni kembali ceria. Berbunyilah dikau agar hariku bermula dengan riang dan bahagia.
Kenapalah kau selalu macam ini? Letih tau tak asyik nak kena menunggu dan berharap sahaja setiap hari?

Yasmin melepas keluhan kecil. Telefon di atas meja dia renung dengan hati yang walang. Senyap. Yasmin mengeluh buat kali yang kedua. Nampaknya pagi ini tidak ada bezanya dengan pagi-pagi yang lain sejak setahun yang lalu. Harapan yang Yasmin harapkan itu tak pernah pun tertunai. Si dia yang dinanti itu agaknya tak merindui Yasmin pun seperti mana Yasmin merindui dirinya. Tengoklah, sampai dah pukul 8 sekarang ni pun, telefon itu masih bisu tanpa apa-apa bunyi.

Sudah lama Khalil tak menghantar mesej selamat pagi pada aku. Kenapa agaknya? Dah setahun dah asyik macam ini. Khalil dah berubah. Lelaki tu dah tak sama lagi macam dulu. Apakah Khalil tidak teringatkan aku lagi pada setiap pagi? Adakah aku ini bukan lagi perkara pertama yang Khalil fikirkan setiap kali dia mencelikkan mata?

Yasmin mengeluh buat kali ketiga.
Beginilah rutinnya setiap pagi. Menanti, berharap, kecewa dan kemudiannya mengeluh. Dan seperti pagi-pagi sebelum ini, Yasmin memujuk lagi hatinya sendiri.

Tak apalah. Agaknya Khalil sibuk kut dengan kerja hariannya. Tanggungjawabnya banyak sebab dia itu anak tunggal di dalam keluarga. Dia kenalah bekerja keras untuk membantu keluarga. Dahlah, Yasmin. Jangan berfikir yang bukan-bukan. Kau kena lawan semua bisikan syaitan. Syaitan memang tak suka kalau keturunan Adam hidup bahagia dan sentosa. Abaikan saja semua bisikan tu, Min. Abaikan. Khalil masih sayang dan cinta pada kau. Percayalah. Lagipun, Khalil bukan senyap terus. Dalam sehari sekurang-kurangnya ada juga sekali atau dua kali Khalil menghantar mesej pada kau, kan?

Yasmin tersenyum sedikit, mengangguk pada hati yang memujuk.

Aku bukannya nak meminta banyak pun. Aku tak mahu menjadi kekasih yang cerewet. Khalil pun ada kerja dan kehidupannya juga. Tak baiklah kalau aku nak membentak mengada-ngada meminta Khalil melayan aku dua puluh empat jam. Aku kena belajar juga menghormati waktu privasi Khalil. Aku bukan budak kecil yang dahagakan perhatian setiap hitungan detik. Aku dah besar kan?

Yasmin menarik nafas panjang dan kemudian menghembus dengan penuh semangat. Aura positif bernyala-nyala di dalam mindanya. Hidup ini adalah seperti apa yang kita fikirkan. Kalau asyik sangat menumpukan pada sisi buruk, tentu hati tak akan tenang dan bahagia. Sudahnya, yang buruk itulah yang kita akan dapat.
Senyum ya, Yasmin. Senyum. Hidup ini indah. Ingat tu.

Perlahan-lahan tangannya mencapai telefon yang tergetak di atas meja, di sebelah cawan kopi yang berasap.

Macam hari-hari yang lain, Yasmin memilih untuk mengalah. Dia menaip.

Assalammualaikum.
Selamat pagi

Ringkas saja teksnya. Selepas itu dia menekan butang ‘hantar’. Telefon itu diletakkan semula di atas meja. Dia menyambung mengunyah sandwich kedua. Senyuman tidak lekang di bibirnya walaupun sedang mengunyah. Kononnya mahu mewujudkan aura positif di dalam hati.
Seminit.
Lima minit.
Sepuluh minit.
Yasmin merenung telefonnya yang masih bisu. Bibirnya terjungkit. Senyuman positif tadi bertukar menjadi senyuman sinis. Senyuman mengejek. Dia mentertawakan dirinya sendiri sebenarnya.

Apa yang dia harapkan? Khalil akan membalas mesejnya sepantas kilat? Oh, berhentilah berharap perkara itu akan berlaku.

Dia menarik nafas panjang-panjang kemudian menghelanya perlahan-lahan.

Tak apa. Aku tetap akan berfikir yang baik-baik. Mungkin Khalil sedang memandu untuk ke tempat kerja sekarang ini. Mana boleh main telefon waktu sedang memandu kan? Bahaya dan boleh kena saman pulak tu.
Sudahlah. Baik kau makan sarapan ni dengan gembira. Setidak-tidaknya Tuhan masih tidak lupa memberikan kau rezeki. Bersyukurlah sikit, Min.

Sandwich yang masih berbaki di tangan disumbatnya ke dalam mulut sampai pipinya pun naik kembung. Buruk sungguh. Bersusah-payah jadinya dia mengunyah. Sambil mengunyah, dia tertawa kecil dengan tingkah keanak-anakannya itu. Main-main. Tercekik baru tahu.

Yasmin melirik jam di dinding. Serta-merta matanya membulat. Terbatuk-batuk dia dibuatnya. Tergesa-gesa pula dia mencapai cawan dan meneguk airnya dengan rakus. Sandwich yang belum sempurna dikunyah ditelannya begitu sahaja.

Dia mengurut tengkuk. Aduh! Ini kes nak bunuh diri ke apa ni?

Dia melirik ke arah jam semula.

“Eh! Cepatnya jam ni berjalan. Betul ke tu?” Dia tilik pula jam yang dipakai di tangan.
Sudah pukul 8.30 pagi. Waktu pejabatnya pula bermula jam 9.00 pagi.

Cepat-cepat dia mengemaskan meja dan berlari-lari anak menuju ke dapur menghantar piring dan cawan kotor ke singki. Dibiarkan saja di dalam situ tanpa berbasuh. Dah tak sempat. Kemudian, dia berlari semula ke dalam bilik, mengambil beg tangan, kunci kereta, memeriksa penampilannya di cermin buat seketika dan terus bergegas keluar dari rumah.

“Oh, dah lambat. Dah lambatttt…”

Yasmin berteriak sambil tergesa-gesa mengunci pintu dan gri