Monday, 2 December 2013

Kita Sahabat Bukan Kawan



Oleh: Wafi Rosli
Bab 1:

“Lapan darab tujuh, berapa ya?” Lisa tertanya sendirian. Mimi yang berada di sebelahnya hanya memerhati sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia mengeluh kemudian bersuara, “ Lisa, umur kamu sudah berapa tahun? Lima belas tahun, bukan? Kenapa sifir tujuh pun kamu tidak boleh mengingatinya?”
Lisa hanya tersenyum. Malu dirasakan terhadap sahabatnya itu. Mana tidaknya, sahabatnya itu dari kecil lagi sudah semula jadi pandai, tidak seperti dia, kena berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi pintar seperti Sang Kancil.
Dia meneruskan kiraannya, nampak gayanya sememangnya Mimi tidak akan membantunyalah. Jikalau dahulu, sekiranya dia dalam kesusahan, sudah tentu Mimi membantunya, tetapi sekarang... Mimi tidak akan membantunya lagi. Semakin hari, dia berasa Mimi seakan-akan mahu menjauhi diri darinya, tetapi mungkin itu hanyalah perasaannya sahaja.
“Saya sudah dapat!” Lisa terjerit kecil. Mimi memandangnya dengan bersahaja.
“Jawapannya lima puluh lapan!”
Pap! Mimi menepuk dahinya sendiri sambil menggeleng-geleng. ‘Bagaimanalah saya ingin menolongnya lagi?’ Mimi tertanya-tanya di dalam hati. Lisa memandang pelik ke arah kawannya yang secara tiba-tiba terkejut sambil menepuk dahi. Dari jauh kelihatan seperti orang yang berputus asa sahaja.
“Jawapannya lima puluh enamlah, kawan!” Beritahu Mimi dengan senada. Lisa terdiam. Dia mengira semula. Setelah mengambil masa tidak sampai seminit, dia tertawa geli hati.
“Memang betullah jawapan kamu! Hahaha!” Mimi yang mendengar Lisa tertawa mengikut ketawa.
Mereka berdua bergerak menuju ke kantin sekolah untuk mengenyangkan perut mereka yang asyik ‘bernyanyian’ daripada tadi. Kantin sekolah mereka kelihatan sungguh padat dengan makanan serta pelajar-pelajar Sekolah Taman Permai.
Semua pelajar sekolah itu berbaris mengikut barisan. Masing-masing menunggu dengan sabar untuk membeli makanan mereka. Begitu juga dengan Mimi dan Lisa.
Setelah beberapa ketika menunggu, akhirnya makanan yang ingin dibeli sudah pun dibeli oleh mereka berdua. Mereka berdua mencari tempat duduk untuk menjamu makanan yang telah dibeli tadi.
“Lisa, nampak gayanya, tempat duduk di sini sudah penuhlah. Bagaimana hendak makan ini?” Mimi memandang Lisa meminta pandangan sahabat karibnya itu.
“Tidak mengapalah, marilah kita duduk di pondok-pondok yang berada di sekolah ini.” Ajak Lisa sambil menarik lengan Mimi meninggalkan kantin yang memang sesuai dikatakan ‘markas’ para pelajar sewaktu rehat.
                                                                        ***                                                
“Marilah duduk di sini.” Panggil Julia, kawan sekelas Lisa dan Mimi. Lisa dan Mimi berpandangan satu sama lain. Berkerut muka mereka melihatkan perangai Julia. Sudah tentulah, kebiasaannya, Julia memang paling tidak suka akan mereka berdua, tetapi hari ini lain pula?
Tanpa banyak berfikir, mereka berdua segera bergerak ke arah Julia, dan duduk di hadapan Julia. Unggas-unggas menyanyi merdu di pondok itu sehinggakan sesiapa yang mendengarnya pasti terpukau dengan kemerduan suara makhluk yang kecil molek itu.
“Julia, kenapa kamu bersendirian di sini? Di manakah kawan-kawan kamu?” Soal Lisa ingin tahu. Mimi menepuk lengan Lisa kerana marah dengan cara Lisa menyoal. Tidak bertapis langsung!
Julia senyap secara tiba-tiba. Menunduk memandang meja yang berada di hadapannya. Lisa menelan air liur. ‘Dia terasakah?’ Tanya Lisa pada diri sendiri.
“Sebenarnya, saya dikhianati oleh rakan saya, mereka kata saya mencuri wang. Sedangkan saya tidak tahu-menahu pun fasal perkara itu. Jadi, bermulalah perang mulut antara kami.” Setitis air mata mengalir di tubir matanya. Mimi dan Lisa hanya berdiam diri. Tidak tahu apa yang ingin diperkatakan.
“Bolehkah saya menjadi kawan kamu?” Soal Julia penuh mengharap. Hatinya berkobar-kobar ingin mendengar jawapan yang akan diberikan oleh dua orang teman yang sungguh akrab itu. Lisa yang sememangnya dari dahulu lagi ingin mengejar popular di sekolah ini terus mengangguk. ‘Kalau saya berkawan dengan Julia, mesti saya terkenal seperti rakan-rakannya dahulu.’ Lisa sudah memasang niat dari awal lagi di dalam hati.
Mimi di sebelah terkejut melihat Lisa mengangguk. ‘Betulkah dia ini?’ Bisik hati kecil Mimi. Hatinya betul-betul berada di atas pagar antara mahu dengan tidak. Dia berasa seperti Julia ada udang di sebalik batu. Tetapi dia menafikan perkara yang telah ‘lahir’ di dalam pemikirannya. Dia tidak mahu berfikiran negatif terhadap orang lain.
***
Lisa dan Mimi berjalan pulang ke rumah beriringan. Masing-masing melayani perasaan sendiri kerana tiada topik yang ingin dibualkan. Setelah lama berjalan, dua buah rumah banglo berkembar berdiri megah di hadapan mereka. Mereka berdua melakukan sesi ‘bersalaman dan bercium pipi’ seperti kebiasaan mereka. Menandakan mereka itu sahabat yang tidak akan terpisah walau apa jua rintangan.
Mimi bergerak masuk ke rumahnya begitu juga dengan Lisa. Mereka berdua adalah berjiran dan mereka berdua adalah teman sepermainan sejak dari kecil lagi. Sebab itu mereka mengenal hati budi masing-masing.
Baru sahaja Mimi ingin bergerak masuk, Puan Fatimah, iaitu ibu Lisa memanggil-manggil namanya. Dia segera berpaling. Dilihatnya Puan Fatimah sudah pun memberikan senyuman semekar bunga mawar. Dia membalas senyuman Puan Fatimah.
“Ibu dan ayah kamu memberitahu pada mak cik bahawa mereka pulang lewat hari ini, katanya ada mesyuarat penting, jadi, mereka suruh mak cik tengok-tengokkan kamu. Alang-alang sudah begitu, mak cik ingin mengajak kamu makan malam bersama kami nanti. Jadi mak cik harap kamu datanglah nanti, ya?” Ujar Puan Fatimah. Mimi ingin menolak, tetapi dilihatnya muka Puan Fatimah yang sentiasa bersama dengan senyumannya, dia tidak mahu menyampaikan hasratnya. Dia tidak mahu melihat muka yang sering dengan senyuman itu hilang dalam sekelip mata. Tanpa banyak berfikir, dia mengangguk tanda setuju.
Puan Fatimah tersenyum senang hati. ‘Sungguh baik gadis ini.’ Fikirnya di dalam hati. Dia segera masuk ke dalam rumahnya setelah meminta diri daripada Mimi.
***
Usai solat Maghrib, Mimi menyuruh adiknya, Ismail bersiap-siap untuk pergi ke rumah Lisa. Sebenarnya dia berasa segan untuk pergi ke rumah sahabatnya itu, tetapi apabila memikirkan adiknya yang mungkin akan kelaparan pada waktu malam nanti, maka dia bersetuju untuk pergi.
Setelah adiknya sudah bersiap, mereka segera bergerak keluar dari rumah. Pintu rumah dikunci oleh Mimi. Ismail yang baru berumur lapan tahun berpegangan tangan dengan kakaknya.
Assalamualaikum.” Mimi mengucap salam. Ucapan salam dijawab dari dalam. Mimi dan Ismail hanya menunggu sahaja gerangan si empunya suara yang datang dari dalam rumah itu.
Pintu rumah dibuka. Tersembul wajah Lisa di balik pintu. Lisa segera membuka pagar dan melakukan sesi ‘bersalaman dan bercium pipi’ itu lagi. Tetapi hanya pada Mimi. Bukan Ismail.
“Marilah masuk.” Lisa mengajak sahabatnya itu masuk ke dalam rumahnya. Jelas di wajahnya terpancar keriangan. Sudah tentulah, sahabat yang disayanginya ingin makan bersama dia dan keluarganya.
Lisa membawa Mimi dan Ismail masuk dan duduk di meja makan. Mimi berasa sedikit janggal kerana dia berasa dilayan seperti ratu sahaja di rumah sahabatnya ini. Setelah kelibat Lisa sudah hilang di meja makan, dia segera menuju ke dapur untuk menolong Puan Fatimah. Manakala, Ismail hanya duduk di atas kerusi sambil menanti.
“Eh, Mimi, kamu hendak buat apa itu? Tidak perlu bersusah-susah, biar mak cik sahaja yang menyiapkan makanan ini. Kamu duduk sahaja di meja makan itu.” Puan Fatimah melarang anak jirannya melakukan kerja-kerjanya.
“Betul itu, Mimi. Kamu duduk sahaja di meja makan. Saya sudah ada untuk menolong ibu saya.” Sokong Lisa. Mimi tersenyum. Dia tetap ingin melakukan kerja-kerja itu.
“Tidak mengapalah mak cik, saya berasa seperti ratu sahaja apabila duduk di sana. Biarlah Ismail sahaja yang menjadi raja.” Ujar Mimi. Puan Fatimah mengeluh kecil. Mengaku kalah. Terpaksalah dia memberi Mimi melakukan kerja-kerja itu juga.
Setelah beberapa minit kemudian, meja makan yang kosong itu telah pun dipenuhi dengan makanan yang berkhasiat. Terdapat lauk ikan masak kari dan beberapa lauk yang lain.
“Di manakah Pak Cik Daud, makcik?” Soal Mimi apabila menyedari yang suami Puan Fatimah tiada bersama mereka.
“Oh, dia sedang bekerja. Pukul empat pagi nanti barulah dia pulang ke rumah.” Beritahu Puan Fatimah. Lisa yang daripada tadi berdiam diri mula bersuara,
“Mimi, jemputlah makan, lauk ikan masak kari yang ibu saya buat ini sedap! Saya paling suka lauk itu.” Puan Fatimah berasa sedikit malu mendengar pujian daripada anaknya itu.
Lisa yang sudah pun mengambil nasi dan lauk ikan masak kari itu segera memakan makanan di hadapannya tanpa memandang sesiapa. Masing-masing berpandangan sesama sendiri.
“Lisa, kamu sudah membaca doa makankah?” Tanya Puan Fatimah. Lisa yang mendengar pertanyaan Puan Fatimah terkejut. Dia terbatuk-batuk akibat tercekik tulang ikan itu. Air segera diminta. Mimi yang berdekatan dengannya segera mengambil segelas air lantas memberi kepada rakannya itu.
“Itulah kakak, lain kali bacalah doa makan dahulu.” Suara pelat Ismail itu membuatkan mereka ketawa.
“Memang betul pun kata Ismail itu. Lain kali bacalah doa makan. Ini tidak, makan sahaja tahunya.” Ujar Puan Fatimah. Pada malam yang sunyi itu, kedengaran tawa keriangan di rumah Puan Fatimah. ‘Sungguh, saya tidak akan melupai kenangan makan malam di rumah ini.’ Bisik hati kecil Mimi.
***
“Mimi.” Panggil Puan Qurnia, ibu Mimi perlahan. Mimi yang sedang mengulangkaji pelajaran memandang ibunya sambil menyahut panggilan ibunya.
“Ibu hendak memberitahu kamu sesuatu.” Beritahu Puan Qurnia. Mimi hanya menanti sahaja apa yang ingin dikatakan oleh ibunya.
Puan Qurnia menarik nafas seketika, kemudian dia memberitahu,
“Hari Khamis minggu hadapan... kita akan berangkat pergi ke England. Ibu dan ayah dipindahkan kerja ke syarikat yang baru dibuka di sana, jadi... kita terpaksa pergi ke sana. Maaflah sekiranya terlalu lambat memberitahu, ibu dan ayah juga baru sahaja diberitahu sebentar tadi.”
Mimi terdiam. Sungguh dia berasa terkejut akan perkara yang baru sahaja diberitahu sebentar tadi. Pada kotak pemikirannya, dia teringat akan Lisa serta janji mereka yang tidak akan berpisah selama-lamanya meskipun sudah berkahwin.
“Tidak mengapalah, nanti saya memberitahu kepada Lisa akan perkara ini.” Ujar Mimi perlahan. Sedaya-upaya dia ingin berwajah tenang di hadapan ibunya. Puan Qurnia tahu bahawa anaknya itu pasti akan berasa sedih, tetapi, dengan cara itu sahajalah yang dapat menyara anak-anaknya. Dia memandang suaminya yang sedang membaca surat khabar. Mereka saling berpandangan, tiada sebarang riak wajah di muka. Seperti sedang berbual di dalam hati.
***
“Julia tengok ini. Hahaha!” Lisa ketawa kerana berasa lucu setelah melihat gambar penyanyi kesukaannya membuat mimik muka yang agak pelik. Julia yang melihatnya juga ketawa bersama.
Tanpa disedari mereka, Mimi melihat gelagat mereka dari jauh. Dia berasa sedih kerana sahabat baiknya telah ‘diculik’ oleh orang lain. Tetapi dalam masa itu juga dia bersyukur kerana ada yang menemani Lisa sewaktu dirinya tiada di sisi sahabatnya itu.
Dia tersenyum kemudian kembali pergi menuju ke arah kantin. ‘Mungkin sudah tiba masanya untuk memberitahu Lisa, sudah tentulah, tinggal dua hari sahaja lagi saya berada di sini.’ Sambil berjalan menuju ke kantin, sambil itu juga dia berfikir tentang cara untuk memberitahu Lisa tanpa menyinggung perasaan sahabatnya itu.

Bab 2:


“Julia, saya ingin memberitahu kamu sesuatu.” Ujar Mimi setelah memastikan yang Lisa tidak mengikut Julia di tempat yang agak tersorok itu.
“Apa dia, Mimi?” Soal Julia ingin tahu. Mimi memandang ke arah jalan tar yang sudah pudar warnanya. Dia mengeluh seketika kemudian bersuara,
“Lusa, saya akan meninggalkan Malaysia. Saya akan menetap di England untuk jangka masa yang lama. Jadi saya berharap agar kamu boleh menemani Lisa ketika saya tiada.” Pertolongan diminta dengan penuh pengharapan. Julia hanya terdiam. Hatinya secara tiba-tiba berasa gembira. Tidak tahu kenapa boleh jadi begitu? Secara tiba-tiba, dirinya dibelenggu niat jahat.
“Baiklah, saya akan menemaninya.” Ujar Julia dengan semangat untuk menutup niatnya itu. Mimi berasa sungguh gembira mendengar kata-kata yang dikeluarkan oleh Julia. ‘Nampak gayanya, Julia memang sudah berubah.’ Fikirnya di dalam hati.
***
Lisa pulang ke sekolah bersendirian. Sejak dua menjak ini, Mimi sering bersendirian, tidak langsung bersama dengannya. Dia berasa bersalah kerana dia berfikir mungkin Mimi berasa seperti dipinggirkan kerana dia sering bersama dengan Julia sejak akhir-akhir ini. Jadi, dia sudah bernekad untuk meminta maaf dengannya.
Sampai sahaja di rumah, dia melihat rumah Mimi kosong. Tiada kereta. ‘Mungkin mereka pergi keluar bersiar-siar’ Monolog Lisa dalam hati. Hatinya berasa hampa. Dia bergerak masuk ke rumahnya dengan langkah yang berat.
Lisa masuk ke dalam rumahnya dengan wajah yang sayu. Puan Fatimah yang melihat Lisa segera ingin memberitahu apa yang telah diberitahu Puan Qurnia.
“Lisa, kamu sudah tahu jiran kita akan berpindah ke England?” Soal Puan Fatimah. Lisa dalam keadaan yang lemah terus bertanya,
“Siapa? Makcik Jahlela?” Tanya Lisa dalam keadaan lemah. Dia sudah diberitahu bahawa Makcik Jahlela akan berpindah, tetapi sehingga sekarang dia masih tidak berpindah-pindah lagi. Disangkanya khabar angin, rupa-rupanya memang akan berlaku.
“Ya.” Jawab Puan Fatimah tanpa sedar. Lisa segera bergerak naik ke tingkat atas. Puan Fatimah yang bagaikan tersedar terus terdiam.
“Eh, tadi Lisa berkata siapa ya? Makcik Jahlela? Aduhai, kenapalah saya berkata ya pula. Sedangkan Puan Qurnia sekeluarga yang akan berpindah. Tidak mengapalah, mungkin Mimi sudah memberitahunya.” Ujar Puan Fatimah. Dia segera menyambung kerja melipat pakaian.
***
“Lisa. Kamu hendak tahu? Mimi... dia akan berangkat ke England pada esok hari. Dia kata dia tidak mahu memberitahu kamu kerana dia tidak mahu kamu menyusahkan dia dengan mendengar tangisan kamu. Dia berkata bahawa duduk berjauhan dengan kamu lebih tenang. Kerana itulah dia tidak memberitahu kamu, dia suruh saya yang menyampaikan kepada kamu. Saya tidak mahu kamu bersedih sebab itu saya memberitahu kamu perkara yang benar.” Ujar Julia panjang lebar akan penipuannya. Lisa yang mendengar tidak mempercayainya.
“Betul. Kalau tidak, mesti dari awal lagi dia sudah memberitahu kamu.” Julia meyakinkan Lisa. Lisa berdiam diri seketika. ‘Betul juga kata Julia itu, kalau tidak mesti dia sudah memberitahu saya dari awal lagi.’ Akhirnya, Lisa termakan juga kata-kata Julia. ‘Sampai hati dia buat saya begini.’ Kemarahan dan kesedihan membelenggu dirinya.
***
Setelah lama berfikir, dia ingin memberitahu juga Lisa akan pemergiannya esok. Dia mesti memberitahunya! Dia bergerak ke arah Lisa kemudian menarik nafas panjang.
“Lisa, saya hendak memberitahu...” Belum sempat Mimi menghabiskan kata-katanya. Lisa pantas memotong,
“Memberitahu tentang kamu akan meninggalkan saya dan pergi ke negara England? Dan juga ketidaksetiaan kamu? Begitu? Kenapa permulaan kita mula berkenal-kenalan kamu tidak berkata yang saya ini menganggu kamu? Kenapa? Kenapa sekarang baru ingin beritahu? Itupun bukan pada saya, tetapi pada Julia. Kenapa?” Manik-manik jernih mengalir di tubir matanya. Julia yang memerhati berasa bersalah. Tidak disangka perkara itu akan menyebabkan perkara ini berlaku.
“Apa yang awak katakan ini?” Soal Mimi bersama nada suara yang pelik. Tidak pernah sekali pun dia berfikir begitu terhadap Lisa. Dia sungguh sedih mendengar tuduhan daripada sahabat karibnya tentang perkara yang tidak pernah difikirkannya.
“Kita putus kawan.” Tiga patah perkataan terpacul dari mulut Lisa tanpa disedari. Julia dan Mimi tersentak. Mimi menahan air matanya dari jatuh. Dia ingin menunjukkan bahawa dia kuat. Dia memandang Julia dengan pandangan kecewa. Dia berasa sedih dengan pengkhianatan rakannya yang bernama Julia itu. Dia berpusing ke belakang dan bergerak ingin pulang ke rumah. Air matanya mengalir deras selepas itu.
***
Hari ini, hari Mimi berangkat pergi ke England. Lisa berasa sungguh bersalah kerana memutuskan tali persahabatan yang telah diciptanya sejak dari kecil lagi pada hari sebelum mereka berpisah. Mungkin buat selama-lamanya.
Julia melihat Lisa hanya berdiam diri pada hari ini. Dia berasa takut untuk memberitahu rakannya itu. Tetapi semakin dia berasa takut, semakin dia dibelenggu rasa bersalah. Jadi, dia menguatkan dirinya untuk memberitahu juga.
“Sebenarnya...” Perkataan yang keluar dari mulut Julia menarik perhatian Lisa. Lisa menanti apa yang ingin dikatakan oleh Julia.
“Sebenarnya saya telah menipu kamu. Mimi tidak pernah berfikir yang bukan-bukan tentang kamu. Saya cemburu akan persahabatan kamu yang terlalu akrab. Sebab itulah saya berbuat demikian. Maafkan saya.” Lisa hanya terdiam. ‘Sudah terlambat untuk membetulkan apa yang telah berlaku.’ Fikirnya.
“Saya memaafkan kamu.” Lisa terus berdiam diri selepas tiga perkataan itu diucap. Guru yang sedang mengajar di dalam kelasnya diperhati. Kini, dia akan berusaha sendiri tanpa bantuan Mimi lagi.
***
“Lisa, ini ada sepucuk surat daripada Mimi untuk kamu. Dia telah memberikan kepada ibu sebelum berangkat pergi.” Puan Fatimah menghulurkan sepucuk surat kepada anaknya.
Lisa membuka sampul surat itu, membaca setiap bait-bait perkataan yang tercoret di atas kertas itu.
Kehadapan Lisa,
Julia telah pun memberitahu saya tentang penipuannya, saya memaafkannya. Saya berharap kamu memaafkannya juga . Saya juga telah memaafkan kamu. Saya berharap kamu dapat memaafkan saya juga. Jika ada jodoh pasti kita berjumpa juga. Alamak! Setelah lama menulis surat ini, baru saya tersedar sesuatu, assalamualaikum. Baiklah, saya tidak mempunyai masa yang cukup untuk menulis surat ini seperti karangan, jadi saya harap kita masih lagi berkawan. Eh, bukan! Saya harap kita masih lagi bersahabat. Saya mendoakan kesihatan kamu dan keluarga kamu baik-baik saja. Diulangi, jika ada jodoh, kita pasti akan berjumpa lagi.
Lisa mengalirkan air matanya membaca surat itu. Puan Fatimah membiarkan anaknya melayani perasaannya. Dia mengerti, bukan senang hendak meninggalkan teman sepermainan, memerlukan jangka masa yang lama untuk memulihkan perasaan sedih itu.
Dia bergerak ke arah anaknya. Menepuk-nepuk bahu anaknya lantaran berkata,
“Kita pasti akan berjumpa mereka suatu hari nanti. Berdoalah pada Dia agar semuanya berjalan lancar di sana dan juga di sini.” Nasihat Puan Fatimah.
Mungkin sudah tiba masanya untuk dirinya berdikari dan menjadi gadis yang matang dalam setiap perkara. Secara tiba-tiba, semangat membara datang dari dalam jiwanya. Dia bertekad bahawa dia akan menunjukkan bahawa dia bukanlah seorang gadis yang sering kali lalai,culas dan lembab lagi. Dia akan buktikan pada Mimi bahawa dia boleh melakukannya.
***
Bab 3 (Bab Akhir) :
Tiga tahun telah pun berlalu, kini, Lisa dan Julia sudah pun menjadi gadis yang meningkat usia dan bertambah matang. Mereka berdua menanti di suatu tempat yang setiap masa sibuk iaitu lapangan terbang. Setelah lama menunggu, mereka terlihat seorang gadis bertudung labuh, berjubah hitam dan sedang melambai-lambai ke arah mereka.
“Adakah itu Mimi? Nampaknya dia memang seseorang yang tetap pendirian dan tabah walaupun menetap di negara bukan Islam.” Ujar Julia sambil melambai-lambai ke arah Mimi. Begitu juga Lisa.
Assalamualaikum. Lamanya tidak berjumpa dengan kamu berdua. Kamu berdua sihat?” Ucapan salam Mimi dibalas. Mereka bertiga saling berpelukan.
“Kami sihat.” Jawab Lisa dan Julia serentak. “Mimi, kami ingin meminta maaf tentang perkara dahulu.” Sekali lagi serentak mereka bersuara. Mimi tergelak halus melihat keadaan itu.
“Perkara dahulu jadikan sebagai peringatan. Tetapi janganlah sampai menghantui diri. Tidak mengapa, saya sudah lama memaafkan kamu berdua.” Ujar Mimi. Julia dan Lisa terkejut. Tidak menyangka bahawa Mimi sudah berubah menjadi gadis yang bijak berkata-kata.
“Kita masih lagi berkawan, bukan?” Tanya Lisa menginginkan kepastian. Julia juga seperti itu, menginginkan kepastian.
“Tidak!” Jawab Mimi sepatah. Julia dan Lisa terdiam.
“Kenapa? Kami fikir kamu akan bersama kami semula.” Ujar Lisa sedih. Semangatnya untuk bertemu dengan sahabatnya itu hilang dalam sekelip mata.
“Kita bukan berkawan!” Ujar Mimi tegas. “Tetapi bersahabat. Jikalau berkawan, sudah tentu kita tidak akan berjumpa lagi.” Sambungnya lagi sambil tersenyum.
“Maknanya, kita bertiga ini adalah kawan selamanya. Eh, salah! Maknanya kita bertiga ini sahabat selamanya?” Kata Julia disambut gelak tawa Mimi dan Lisa. Mereka bertiga bergerak keluar dari lapangan terbang yang besar itu untuk mengharungi dugaan kehidupan yang sentiasa menanti mereka.
Sungguhlah, memang berbeza sekali makna di sebalik kawan dan sahabat. Kawan ialah orang yang akan mendampingi kita sewaktu senang dan meninggalkan kita sewaktu susah dan melupakan kita sewaktu berjauhan. Sahabat pula ialah orang yang akan berada di samping kita setiap masa tanpa mengira senang atau susah dan jauh atau dekat.
*TAMAT*