Pada 9 Februari 2014 lalu, bertempat di Taman Putera Perdana, Presint 1
Putrajaya, pihak Adiwarna telah menganjurkan Piknik Adiwarna kali kedua. Piknik
kali ini mempunyai tema yang menarik, iaitu sembang-sembang santai mengenai
antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari.
Ramai yang sudah tahu, antologi cerpen Kerana
Dia, Ratu Sehari terbitan Adiwarna ini mendapat sambutan yang sangat
memberangsangkan daripada pembaca. Dalam naskhah yang cantik ini terdapat 40
buah cerpen yang muatkan hasil tulisan 37 orang penulis berbakat.
Acara dimulakan dengan ketibaan para tetamu dan jemputan pada jam sembilan
pagi. Selepas sesi pendaftaran, tetamu dihadiahi cenderahati. Kemudian, tetamu
dialu-alukan untuk menjamu selera dengan makanan yang disediakan oleh pihak
Adiwarna sambil duduk bersembang santai di atas rumput beralas kain.
Piknik Adiwarna kali dipengerusikan oleh Cik Nur Kamalia Ramlan. Sebelum
memulakan acara sembang tentang Kerana
Dia, Ratu Sehari, Encik Adzhar telah mengetuai pembacaan doa. Kemudian,
sesi pertama yang melibatkan bahagian Editorial Adiwarna dimulakan.
Pembentang pertama ialah Puan Noor Suraya yang merangkap penyelenggara
antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari.
Puan Noor Suraya membentangkan bagaimana proses pemilihan cerpen-cerpen dalam
antologi tersebut dilakukan. Daripada 150 buah cerpen yang diterima, hanya 40
buah cerpen yang berjaya dipilih dan dimasukkan ke dalam antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari ini.
Kemudian, Encik Mohd Rosdi Mohd Zin selaku Editor Adiwarna membentangkan
tentang proses penyuntingan untuk cerpen-cerpen yang telah terpilih. Ia diikuti
dengan pembentangan daripada Eksekutif Kanan Grafik Adiwarna, Puan Norfadillah
tentang reka bentuk kulit dan reka letak antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari.
Sesi pertama ini bertambah menarik apabila ia turut diselang-seli dengan
pelbagai soalan dan pendapat daripada para tetamu yang hadir.
Sesi kedua pula ialah sesi khas penulis. Beberapa orang penulis yang
menulis cerpen untuk antologi cerpen Kerana
Dia, Ratu Sehari berkongsi idea dan pendapat mengenai cerpen masing-masing.
Antaranya, Pingu Toha, Bihurrun Ain dan Scha. Pertanyaan dan pendapat yang
dilontarkan kepada para penulis menjadikan sesi ini bertambah meriah. Di
sinilah para penulis dapat bercerita dengan lebih mendalam lagi tentang
bagaimana tercetusnya idea mereka menulis cerpen-cerpen tersebut.
Sesi ketiga pula ialah sesi umum di mana terbuka para tetamu untuk bertanya
soalan atau memberi pendapat tentang antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari. Pihak Adiwarna juga menganjurkan sesi
cabutan bertuah dan mengedarkan borang kaji selidik kepada tetamu yang hadir.
Selepas sesi sembang-sembang santai Kerana
Dia, Ratu Sehari berakhir, para tetamu diajak untuk bergambar beramai-ramai
serta menjamu selera sekali lagi sebelum bersurai. Pihak Adiwarna turut mengadakan jualan ‘car boot sale’ untuk buku-buku terbitan
Adiwarna dengan diskaun sebanyak 30%.
Acara berakhir kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Pihak Adiwarna ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu
yang hadir bagi menjayakan piknik ini. Insya-Allah, jika berkesempatan kita
akan bertemu lagi pada lain masa.