Tuesday, 17 February 2015

Beli | Cuti | Baca







Sempena cuti umum Tahun Baru Cina tahun ini, 
Adiwarna menganjurkan kempen Beli | Cuti | Baca yang berlangsung 
mulai 9 hingga 23 Februari 2015 ini.




Kempen ini menawarkan potongan harga sehingga 40% untuk 15 judul novel umum terpilih. 
Pembelian boleh dibuat di laman web Adiwarna atau boleh sahaja pm akaun Facebook JS Adiwarna. Boleh juga sekiranya mahu datang terus membeli di pejabat kami. untung-untung boleh bertemu Puan Noor Suraya.










Istimewa sempena bulan kelahiran novel baharu Sepasang Satin Merah Dadu tulisan Noriha, sebarang pesanan belian kempen ini akan menerima POS PERCUMA sekiranya turut memesan SSMD dalam satu pembelian.



Jadi, ambillah peluang ini untuk menambahkan koleksi bahan bacaann untuk cuti umum nanti. 
Belum terlambat lagi untuk membuat pesanan, tau!


Selamat membeli-belah (^^,)v










Thursday, 12 February 2015

Sepasang Satin Merah Dadu









“Sedap ke novel ni?” Rafizi memandang Oni yang diam dan memandang ke hadapan. Dia melambai-lambai tangan di hadapan muka Oni yang sepertinya sudah berada jauh di tempat lain. Sudah ke bulan agaknya fikiran Oni melayang. Matanya tembus pandang tangan Rafizi yang sudah berulang kali digerakkan di hadapan mukanya.


“Oni?”

Oh….

Cepat-cepat Oni kembali ke dunia nyata. Oh, apa aku buat tadi? Berangan-angan ke mana?

“Oh… apa Cikgu Fizi tanya tadi?”

“Saya tanya, sedap ke novel ni?”

“Oh… tak sedap sangat, sedap lagi keropok goreng makcik tu.” Tunjuk Oni ke arah makcik yang jaga gerai jual keropok, pisang goreng dan air batu di seberang jalan.

Alamak! Aku melalut ke mana ni?

Tiba-tiba Oni terdengar Cikgu Rafizi ketawa. Perlahan mulanya, tapi semakin lama semakin kuat pula. Apa kena dengan dia ni?

“Oni lapar ke? Oni belum makan ya?” tanya Rafizi sambil meletak semula novel yang dipegangnya tadi ke tangan Oni. “Saya pergi beli keropok goreng depan tu ya.” Rafizi terus berjalan laju melintas jalan untuk ke gerai keropok di hadapan sana.

Eh? Apa yang terjadi? Aku kata lapar ke tadi? Aku salah cakap ke tadi? Sel-sel otak Oni sedang berhubung dan bekerja keras untuk mentafsirkan apa yang sedang terjadi di hadapannya sekarang. Rasanya dia tak sebut langsung pun tentang lapar atau hendak makan keropok goreng. Mereka berdua bukankah sedang berbincang tentang novel seram ND Lili ni tadi?

Isy… isy… isy...!!!


  






“Apa emak cakap tadi?” Addin yang baru sahaja hendak melangkah ke biliknya terus berpaling memandang emak yang sedang mengukus pulut kuning di atas dapur.
“Hei, kamu tak dengar apa emak cakap? Bukan ke kamu duduk depan emak tadi?” tanya emaknya apabila dilihatnya Addin seperti orang yang terkejut sahaja mendengar kata-katanya, kemudian minta diulang sekali lagi. Apa pekak sudah anaknya itu sampaikan tidak dengar apa yang baru dicakapkannya tadi. Rasanya dia tidak berbisik tadi, kenapa pula tak dengar?

“Emak nak pergi merisik Oni? Oni?” Addin memandang wajah emaknya lagi, mencari kepastian di situ. Dalam hatinya galau semacam. Untuk siapa? Risik untuk aku? Untuk Abang Rafizi?

Makcik Temah memandang anak bongsunya yang berwajah ingin tahu. “Abang kamu tu yang suka dan berkenan pada Oni, dia minta emak risik dan pinangkan Oni untuk dia. Emak pun dah lama suka pada Oni. Emak suka sangat kalau Oni jadi menantu emak.”
“Abang tu bercinta dengan Oni ke selama ni mak?” tanya Addin. Dia tak jadi untuk masuk ke bilik. Dia berpatah balik semula ke dapur dan menarik kerusi. Sebenarnya kakinya menggeletar saat emak kata mahu merisik Oni untuk Abang Rafizi. Getarannya sama seperti dalam dadanya ketika ini. Kuat. Kencang.

Pedih rasa hatinya.
Bagaimana dengan perasaan hatinya pada Oni. Dia juga suka dan cinta pada Oni. Dah lama perasaan begini tidak muncul dalam hatinya. Sedang hatinya diulit bahagia dengan kehadiran Oni, tiba-tiba Oni itu mahu dipinang untuk Abang Rafizi? Abang? Dia suka pada Oni? Tak pernah pula Addin terfikir akan perkara ini boleh berlaku.











“Emak kata dia akan datang merisik awak.” Addin semakin pantas meneruskan suapan.
“Eh, awak pun tahu?” Mata Oni bulat memandang Addin. Tak sangka pula hal ini tersebar cepat. Ingatkan orang tua mereka sahaja yang tahu kerana rasanya dia belum memberi kata putus berkenaan hal ini. Lagipun kata emak, emak Cikgu Fizi pun baru berkias-kias.

“Awak memang bercinta dengan abang ke selama ni?” Begitu, Addin menjawab pertanyaan Oni dengan pertanyaan juga. Dia meneguk jus oren seteguk, kemudian menolak pinggan chicken chop yang sudah licin tak bersisa.

Oni diam, tidak menjawab soalan itu. Otak-otaknya sedang bekerja keras sekarang. Kenapa Addin bertanya soalan begitu? Kenapa Addin yang ada di hadapannya kini lain sungguh, tidak mesra dan humor seperti selalu. Kenapa dia begitu serius? Kenapa? Kenapa? Kenapa bertanya soalan yang bukan-bukan petang ni?

“Kenapa tak jawab? Betullah tu, bercinta diam-diam. Macam dalam drama kat TV tu?” celah Addin. Dia jadi geram apabila Oni diam tidak menjawab. Betullah tu.
“Mengarutlah!” begitu dia menjawab sepatah memberi respons pada kata-kata dalam hatinya tadi.

“Mengarut?” Addin mengangkat muka. Dia memandang wajah Oni. Eh, boleh dia cakap macam tu? “Takkan emak saya bercakap bohong pula.” Marah Addin.

“Bohong fasal apa?”

“Fasal awak dengan abanglah!” Addin terus menyuap mi hailam ke mulut. Huh, sementara ada selera ni, baik dia makan sampai habis. Nanti apabila dah macam-macam keluar daripada mulut Oni nanti, hilang pula selera makannya. Rugi sahaja mi hailam yang sedap ni tak habis, membazir begitu sahaja. Membazir tu kan amalan syaitan.

“Makcik cakap apa fasal kami?”

“Kami?”

Kedua-duanya diam. Oni menyandarkan tubuhnya ke kerusi dan menyilangkan tangan. Rasanya dia sudah menemui jawapan sekarang. Addin berperangai pelik begini tentu ada sebabnya.






















Friday, 6 February 2015

BUYA HAMKA




Tokoh ilmuan
Prof. Dr. Hamka atau nama sebenarnya Haji Abdul Malik Karim Amrullah adalah ulama, sasterawan, budayawan, pemikir, ahli politik, pemimpin gerakan Islam,  pemimpin masyarakat dan pelbagai lagi gelar rasmi dan tidak rasmi yang diberikan kepada  beliau. Meskipun gelar-gelar itu banyak, beliau sendiri mengakui bahawa lebih senang jika dirinya dikenali sebagai seorang pengarang. Hamka berasal dari Kampung Molek, Meninjau, Sumatera Barat Indonesia; dilahirkan pada 17 Februari 1908 dan meninggal pada 24 Julai 1981. Ayahnya ialah Syekh Abdul Karim bin Amrullah yang dikenal sebagai Haji Rasul yang merupakan pelopor Gerakan Islah di Minangkabau sekembalinya dari Mekah pada tahun 1906.

Pendidikan Awal
Hamka hanya mendapat pendidikan di sekolah rendah Meninjau dan beliau hanya belajar sehingga gred 2. Ketika beliau berusia 10 tahun, ayahnya membuka Thawalib atau sekolah fardhu ain di kampung halamannya di Padang Panjang. Hamka kemudiannya belajar di situ dan menguasai bahasa Arab. Beliau juga menjadikan Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R.M. Surjopranoto dan Ki Bagus Hadikusumo, cendekiawan Muslim tersohor sebagai gurunya.
Hamka sangat aktif berdakwah sejak berumur 17 tahun. Beliau menubuhkan Persatuan Hindia Timur di Mekah dan cara mengerjakan haji yang betul kepada jemaah haji Indonesia. Hamka merupakan pengasas Kolej al-Muballighin untuk melatih pendakwah dan menerbitkan majalah dakwah seperti Pembela Islam, Merdeka, Menara, Pemandangan, Gema Islam, Pedoman Masyarakat dan Qathib al-Ummah. Beliau banyak menghabiskan masanya dengan membaca buku falsafah,sastera,sejarah,dan politik.Hamka juga menyelidiki karya-karya Arab dan Barat yang diterjemahkan ke bahasa Arab seperti Karl Marx dan Arnold Toynbee.

Penglibatan Politik
Beliau melibatkan diri dengan pertubuhan Muhammadiyyah dan dilantik menjadi anggota pimpinan pusat Muhammadiyah. Beliau turut melancarkan penentangan terhadap khurafat, bidaah dan tarekat kebatinan yang banyak menular di Indonesia. Oleh itu, beliau mengambil inisiatif untuk mendirikan Pusat Latihan Dakwah Muhammadiyah. Selain itu, Hamka juga berjuang demi tanah airnya dengan mengetuai Front Pertahanan Nasional untuk menyekat kemaraan Belanda di Indonesia. Akibat dari kelantangan beliau bersuara, dirinya dipecat daripada jawatan umum Majlis Ulama Indonesia. Beliau juga pernah di penjara bersama-sama Majlis Syura Muslim Indonesia (MASYUMI).

Hasil Karya
Professor Hamka telah menulis sebanyak 79 karya buku. Keistimewaan Hamka adalah kebolehannya menghasilkan kitab-kitab agama yang terkenal dan menulis novel. Antara novel yang ditulis oleh Hamka ialah Tenggelamnya Kapal Vanderwick, Dalam Lembah kehidupan, Di Bawah Lindungan Kaabah, Kenangan Hidup, Merantau Ke Deli, Ayahku dan Laila Majnun Siti Sabariah.
Selain itu ialah kitab agama dan falsafah Tafsir Al Azhar (30 Juz), Khatib Ul Ummah (1925), Tarikh Abu Bakar As Sidiq, Ringkasan Tarikh Umat Islam Islam dan Adat Minangkabau, Tasawuf Moden, Falsafah Hidup dan Lembaga Hidup Lembaga Budi.
Dua buah novel yang ditulis oleh beliau yang telah difilemkan oleh penerbitan filem iaitu novel Di Bawah Lindungan Kaabah dan Tenggelamnya Kapal Vanderwick.

Selain itu, Hamka atau Buya Hamka ini juga telah menerima beberapa anugerah sepanjang hidup beliau. Antaranya ialah Doktor Kehormatan dari Universiti Al-Azhar Mesir pada tahun 1959, Guru Besar ( Profesor ) Universiti Moestopo Jakarta pada 1960 dan Doktor Kehormat oleh Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1974. 



Contoh Karya




karya yang difilemkan



karya yang difilemkan

Rujukan
http://id.wikipedia.org/wiki/Haji_Abdul_Malik_Karim_Amrullah
https://apanamadotcom.wordpress.com/2014/06/30/kenali-tokoh-islam-di-nusantara-abuya-hamka/
http://drmaza.com/home/?p=2695