Wednesday, 17 July 2013

Review 'Alang Rebus Tak Empuk'

Assalamualaikum dan Salam Ramadhan kawan-kawan 

Hari ini Cik Manis hendak kongsikan sebuah lagi review novel umum keluaran JS Adiwarna. Novel yang dimaksudkan berjudul 'Alang Rebus Tak Empuk' hasil karya Aimi Shabana. Jujur Cik Manis katakan, Cik Manis hanya memerlukan masa beberapa jam sahaja untuk menghabiskan novel ini. Sebabnya mudah, novel ini sangat best! Sesuai dengan jiwa Cik Manis...dan cara penceritaannya sangat sempoi. 

Bagi pendapat Cik Manis, novel ini boleh diklasifikasikan sebagai novel cinta romantik. Itu bagi pandangan Cik Manislah. Mana tidaknya, Cik Manis asyik tergelak sendiri semasa membaca novel ini.  Nampak tidak keseronokan Cik Manis di situ? Alang Rebus Tak Empuk. Pertama kali Cik Manis membaca tajuk novel ini, Cik Manis tak pula meyangka novel ini mempunyai genre sebergini. Ibarat kata pepatah bahasa Inggeris, Don't judge a book by its cover.

Apa beza novel Aimi Shabana ini berbanding novel-novel lain? Jawapannya jelas. Watak dan perwatakan dalam novel ini diberi suntikan berbeza daripada penulis. Penulis tidak menggambarkan watak utama iaitu Shifa sebagai gadis yang terlalu sempurna seperti yang biasa kita baca dalam novel-novel lain. Watak Shifa dalam novel ini hanyalah seorang gadis biasa yang serdahana. Tidak cantik macam model. Tidak juga putih melepak. Tidak ada lesung pipit. Kulit pun tidak selicin jelitawan. Wlaupun tidak digambarkan sebagai wanita yang cantik, Shifa tetap ada 'manisnya' . Shifa bukan hanya manis pada rupa luaran, tetapi manis juga pada akhlak dan sikap. 'Kemanisan' yang ada pada Shifa itulah yang menjadi tarikan kepada insan yang bernama Ziyad. 

Ziyad? Dia seperti watak hero yang lain. Kacak, bergaya, macho dan hampir sempurna. Dia idaman hati Shifa sejak pertemuan pertama lagi. Malangnya, Ziyad sama sahaja seperti lelaki lain. Dia ada taste tinggi dalam menilai perempuan. Tak mainlah perempuan biasa. Dia nak yang hot, cantik, menawan. Sikit pun tidak terdetik di hati Ziyad untuk suka apatah lagi jatuh cinta pada Shifa yang serba kekurangan itu. Ziyad hanya menilai luaran. Bagi dia cantik luaran mampu menyedapkan mata memandang tetapi dia tidak sedar kecantikan sekeping hati lebih penting dari segala-galanya.



Cik Manis ceritakan serba sedikit berkenaan dengan novel ini. Novel ini mengisahkan seorang gadis biasa bernama Shifa yang menjadi peminat rahsia lelaki bernama Ziyad. Namun, dia sentiasa berasa rendah diri untuk meluahkan perasaan disebabkan rupa parasnya yang kurang cantik dan dia sendiri pasti Ziyad tidak akan berminat denganya. Cinta yang bertepuk sebelah tangan ini sangat menyesakkan hati Shifa. Namun, satu peristiwa telah mengubah segala-galanya dalam perhubungan mereka. Daripada kawan yang tidak rapat lama kelamaan mereka semakin rapat dan tercetus perasaan aneh. Peristiwa apa? Bagaimana Shifa mampu menarik perhatian lelaki kacak seperti Ziyad? Dan bagaimana Ziyad boleh mengubah prinsipnya yang dahulunya hanya inginkan wanita cantik kepada Shifa yang serdahana? Kawan-kawan mahu tahu? Apa lagi, dapatkanlah novel 'Alang Rebus Tak Empuk' di kedai-kedai buku berhampiran... :)

Selain tarikan jalan cerita yang menarik, novel ini juga banyak memberi pengajaran kepada pembaca. Pengajaran penting yang Cik Manis dapat daripada novel ini adalah kita tidak boleh menilai seseorang hanya dari luaran. Apa guna mempunyai rupa yang cantik jika hati tidak cantik. Jika hati kita cantik, kecantikan itu akan terpancar di wajah kita. Orang yang melihat juga akan sejuk mata memandang. Tutur kata yang sopan, budi bahasa, tingkah laku dan hati yang baik menjadikan watak Shifa dalam novel ini menarik hati Cik Manis.  Novel ini banyak mengajar Cik Manis erti kecantikan yang sebenar. Terima kasih kepada penulis.

Cik Manis jamin kawan-kawan pasti tidak akan berasa bosan dengan penceritaan yang dilakar penulis. Unsur komedi, romantik dan cinta diolah dengan bijak membuatkan novel ini seronok dibaca. Penulis juga bijak menggunakan bahasa yang sesuai untuk menaikkan suasana indahnya perasaan 'cinta' dalam novel. Akhir kata, Cik Manis mengucapkan tahniah kepada Aimi Shabana atas penghasilan novel yang berkualiti ini. Sampai kita berjumpa lagi dalam review novel akan datang. Assalamualaikum....


2 comments:

  1. Antara buku kegemaraan saya :)

    ReplyDelete
  2. Jatuh cinta dengan Ziyad....
    Kalau dah jodoh tak ke mana ya Shifa....

    ReplyDelete