Assalamualaikum dan selamat pagi semua :)
Hai semua!...Bertemu lagi kita pada hari Khamis yang ceria ini. Hari ini Cik Manis nak kongsikan dengan kawan-kawan berkenaan dengan satu novel yang baru Cik Manis habis baca malam tadi. Novel keluaran JS Adiwarna hasil karya Noor Suraya ini berjudul Gadisku Wan Adnin. Cik Manis sungguh teruja membaca karya penulis ini dan setelah selesai 313 muka surat, ia nyata tidak mengecewakan.
Cik Manis sangat kagum dengan cara penulis bermain dengan bahasanya. Dari kulit hadapan hingga kulit belakang, Cik Manis dapat rasakan penulis seorang yang hebat dalam berbahasa. Mana tidaknya, setiap idea dan jalan cerita dalam novel ini dihiasi dengan kata-kata yang indah, bahasa yang tersusun dan puitis. Cik Manis melihat novel Gadisku Wan Adnin sebagai sebuah novel yang mempunyai bahasa yang hebat dan jalan cerita yang menarik.
Kisah dan jalan cerita dalam novel ini sangat berbeza dengan novel-novel lain di pasaran. Seperti kawan-kawan tahu, akhir-akhir ini banyak novel hanya berkisarkan tentang percintaan, perkahwinan paksa, perkahwinan kontrak, kisah benci menjadi sayang dan seumpamanya. Semuanya hanya berkisarkan tentang cinta, cinta dan cinta. Namun, kisah cinta di dalam novel ini bukan hanya cinta kepada kekasih tetapi cinta dan ketaatan kepada orang tua yang menjaganya.
Cik Manis ceritakan serba sedikit kisah Gadisku Wan Adnin ini. Watak utama iaitu Wan Adnin merupakan seorang gadis yang baik, naif, sopan dan sangat taat kepada neneknya, Wan Suhaidah. Namun, Wan Suhaidah bukan seperti nenek yang lain. Beliau bersifat terlalu protektif dan berpendirian. Wan Suhaidah mementingkan darjat dan keturunan. Beliau terlalu memilih berkenaan jodoh untuk cucunya itu. Banyak risikan dan lamaran ditolak mentah-mentah hanya kerana darjat dan darah yang tidak setaraf dengan Wan Adnin. Darah bangsawan yang kononnya mengalir dalam badan Wan Adnin perlu dijaga dan tidak dicemari oleh lelaki yang tidak setaraf. Itulah prinsip Wan Suhaidah. Namun, sejak munculnya Akhtar, banyak perkara telah berubah. Akhtar telah berjaya mengubah hati Wan Adnin dan membuatkan Wan Adnin gila bayang. Namun, ia tidak sesekali mengubah ketaatan Wan Adnin terhadap Tok Bondanya itu. Wan Adnin terpaksa mengalah dengan pilihan Tok Bondanya, Raja Izhar. Wan Suhaida percaya Raja Izhar merupakan calon suami terbaik untuk cucunya. Namun, sangkaannya meleset apabila pernikahan yang diharap tidak seperti yang dirancang. Tragedi dihari penikahan Wan Adnin membuatkan Wan Suhaidah sedar bahawa cucunya itu bukan patung yang tidak memiliki perasaan. Daripada saat itu, Wan Suhaida mula menerima pilihan cucunya dan kesal akan sikapnya yang lalu.
Bagi pendapat Cik Manis, kisah Gadisku Wan Adnin ini sangat menarik untuk dibaca. Banyak pengajaran yang kawan-kawan boleh perolehi. Pengajaran yang paling jelas dalam novel ini adalah tentang sikap bermegah dengan harta dan keturunan. Siapa kita untuk bersikap demikian. Kita hanya manusia biasa yang sama disisiNya. Yang membezakan kita hanyalah iman dan taqwa :)
Penulis juga kreatif dalam memberi maklumat tambahan kepada pembaca. Dalam novel ini juga, penulis banyak menyelitkan info-info sejarah terutamanya berkenaan sejarah Kedah dan Siam serta tentang bunga emas dan perak. Penulis juga menceritakan serba sedikit berkenaan asal usul Kuih Bulan yang Cik Manis rasakan sangat menarik. Bagi Cik Manis, info-info tambahan ini sangat bermanfaat dan dapat memberi pengetahuan baru kepada pembaca. Sambil-sambil berfantasikan kisah cinta antara Adnin dan Akhtar, pembaca juga dapat menambah ilmu.
Cik Manis mengucapkan syabas kepada Noor Suraya atas penghasilan sebuah karya yang menarik ini. Mungkin selepas ini, banyak lagi karya-karya Noor Suraya yang akan Cik Manis review dalam blog ini. Apa kata kawan-kawan jinak-jinakkan diri dengan karya-karya beliau. Cik Manis jamin, kawan-kawan tidak akan kecewa. Sampai bertemu lagi dalam post akan datang. Assalamualaikum dan selamat membaca kawan-kawan :)
No comments:
Post a Comment