Tuesday 23 July 2013

Ulasan novel umum: Helo Suami, Hai Isteri

Assalamualaikum 

Hai kawan-kawan. Selamat pagi. Untuk peminat-peminat novel, hari ini Cik Manis nak kongsikan sebuah lagi review novel keluaran JS Adiwarna. Novel kali ini adalah hasil karya Q yang diberi judul Hello Suami, Hai Isteri.
Cik Manis ceritakan serba sedikit kisah di dalam novel ini. Airil dan Shazlin kedua-duanya merupakan anak kepada orang senang. Sentiasa dilimpahi kemewahan dan dimanjakan dengan harta. Ia menyebabkan kedua-dua mereka menjadi terlalu manja dan tidak mampu berdikari. Mereka mempunyai sikap yang hampir sama iaitu kedua-duanya tidak suka bergaul dengan orang lain melainkan keluarga sendiri. Mereka lebih suka terperuk di dalam bilik melayan kegemaran masing-masing. Kisah bermula ketika ibu bapa kepada Airil dan Shazlin berpakat untuk mengahwinkan mereka untuk menjadikan mereka lebih matang dan berdikari. Kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa mereka harus segera dikahwinkan memandangkan usia mereka juga sudah sesuai dan kedua-duanya masih tidak mempunyai teman istimewa. Pada mulanya, Airil dan Shazlin cuba menentang rancangan ibu bapa mereka, tetapi akhirnya mereka terpaksa akur. Mereka tidak mahu mengecilkan hati dan mengecewakan ibu bapa masing-masing. Bermula dari situlah kehidupan mereka sebagai suami isteri. Walaupun saling tidak mengenali sebelum ini, mereka boleh bertolak ansur dan bekerjasama dalam menguruskan rumah tangga. Tetapi pelbagai dugaan dan halangan yang menimpa kehidupan rumah tangga mereka sehinggakan wujud konflik antara Aril dan Shalin. Apabila perasaan sayang sudah mula wujud, hadir pula insan yang dengki. Mahu mengetahui kisah selanjutnya, kawan-kawan harus dapatkan novel Hello Suami, Hai Isteri.

Novel ini banyak memberi pengajaran berguna kepada pembaca. Misalnya mengenai sikap tolak ansur yang penting dalam sesuatu perhubungan. Jika mahukan hubungan yang harmoni, kita harus saling memahami antara satu sama lain. Selain itu, sikap saling mempercayai juga penting antara pasangan. Tanpa kepercayaan sesuatu hubungan itu sukar untuk berkembang kerana kepercayaan merupakan asas kepada perhubungan. Penulis juga menyelitkan mengenai pentingnya untuk taat kepada kedua ibu bapa. Walaupun Aril dan Shazlin tidak bersetuju dengan cadangan ibu bapa mereka mengahwinkan mereka namun mereka akur juga demi menjaga hati ibu bapa mereka. Sikap kedua-dua watak ini harus dijadikan contoh ye kawan-kawan. Jangan kita melawan kata kedua ibu bapa kita kerana mereka lebih tahu apa yang terbaik untuk kita.

Cik Manis berpendapat  novel ini merupakan novel cinta romantik yang sangat sesuai dengan jiwa remaja khususnya pada mereka yang sedang dilamun cinta. Keseronokan cinta di antara Aril dan Shazlin sangat menghiburkan. Penulis juga banyak mengetengahkan istilah-istilah baru khususnya dalam bahasa Korea dan Jepun sesuai dengan kegemaran watak-watak yang meminati cerita Korea dan Jepun. Bagi Cik Manis yang sangat meminati cerita-cerita korea ini, novel ini sangat masuk dengan jiwa Cik Manis. Apa yang penting bagi sebuah novel untuk remaja seperti Cik Manis adalah ia seronok dibaca, mudah difahami dan mampu dihayati. Untuk novel ini Cik Manis beri 4 bintang kepada penulis. Tahniah! Sampai di sini sahaja review kali ini. Selamat berpuasa kawan-kawan 

No comments:

Post a Comment