Tuesday 12 November 2013

PIQA

Penulis: Asuka Farihah



                Piqa tersenyum.  Betapa dia mengharapkan keajaiban berlaku. Namun hampa! Dia hanya berlalu pergi, tanpa menoleh kembali.
            Aduh, Piqa! Sudah-sudahlah tu dengan perasaanmu! Adakalanya, Piqa rasa penat. Adakalanya, Piqa masih lagi mengharapkan jejaka pujaan hatinya.
            Dia cuma gadis biasa-biasa. Tak terlalu pandai, atau senang dipanggil genius, tak terlalu kurang bijak, ataupun senang cakap, bodoh.  Rupa pun apa yang ada. Punya hidung penyet, sebab Piqa ada baka Jawa, mata yang boleh dikatakan bulat, mulut. Secara ringkasnya, Piqa adalah gadis biasa seperti di luar sana.
            Namun, Piqa ini lain juga sifatnya. Dia kurang bergaul dengan perempuan. Tapi masih menjaga batas-batas antara lelaki dan perempuan. Nak tahu kenapa? Sebab Piqa dah terbiasa dengan pelajar-pelajar ibunya. Ibunya seorang guru di Sekolah Alam Shah (SAS). Tapi yang tak bestnya, Piqa selalu kena ‘bahan’ dengan pelajar-pelajar SAS itu. Piqa sedar, dia tak seberapa cerdik. Tapi, apa Piqa kesah? Ini life Piqa. Tak perlu perbandingan. Asalkan Piqa gembira.
            Okey, sudah terlalu jauh melencong ni, Piqa! Piqa kembali menyimpan senyum setelah hampa. Benci betul! Kenapa dia tak rasa apa yang Piqa rasa?
            Susah, kan? Kita boleh bergaul dengan lelaki, namun apabila timbul bab rasa hati dan perasaan jiwa, pasti jadi lain. Lagi-lagi pula lelaki itu pelajar ibunya.
            Keluhan kecil dilepaskan. Hampa. Dari dahulu, kini dan mungkin akan datang. Muncung mula menghiasi muka Piqa. Bila dia nak bertemu bahagianya sendiri?
            “Hah! Kamu dah kenapa, Piqa?” Ibu menegur anak tunggalnya. Terjongket sedikit bahu Piqa tatkala mendengarkan teguran ibunya itu, a.k.a Cikgu Loudspeaker. Daripada muncung, terus Piqa tersenyum.
            “Orang tengah fikir lah, ibu,” Piqa menjawab dengan jawapan yang paling selamat.
            “Ibu,  orang nak tanya sikit, boleh?” Piqa tanya. Tiba-tiba rasa macam nak salahkan ibu, sebab mengajar dekat SAS. Ibu menjongketkan kening. “Bukan tu persoalan ke?” ibu mengenakannya balik. Piqa menjelir lidah. Ini yang susah, tau! Bila kita ada ibu yang sporting tahap tak ingat! Dah boleh anggap macam kawan!
            “Ya, ya. Orang tau! Tapi kan, Piqa nak tanya. Kenapa ibu kena ajar dekat sekolah lelaki ni pula eh? Memang ibu yang minta ke permohonan ibu tak diterima?” straight to the point, bak kata orang putih.
            Cikgu Loudspeaker cuma mampu tersenyum. “Banyak kenangan dekat sini, Piqa. Kalau Piqa duduk dekat tempat ibu, pasti Piqa akan buat perkara yang sama,” Piqa terdiam. Melalui nada suara ibunya, Nampak sangat ibunya sedikit emo.
            “Haaa! Ada, crush ibu eh dekat sini? Aiyok, tak tahu! Ibu dah kantoi.” Piqa segera menceriakan suasana. Tak mahu menadah telinga mendengar luahan rasa yang terbuku di hati ibunya. Sudahlah sporting, boleh tahan juga drama queennya itu!
            Ibu cuma tersenyum. Memahami anak dara tunggalnya itu.  Kepala Piqa di’kusut-masai’kan. “Piqa, ibu nak cakap satu saja, dan harap-harap Piqa dengar, okey?”
            Badan Piqa automatik menegak. Gulp! Serius makyus betul!
            “Haa.. apa?” Piqa bertanya pendek. Cukuplah sekadar ‘apa’. Kalau tak, nak cakap apa lagi, kan? “Kalau ibu cakap, Piqa jangan cari anak murid ibu jadi suami Piqa, Piqa setuju tak?” meremang bulu roma rasanya apabila mendengarkan ibu cakap macam tu. Aiseh.. ibu dah tau ke?
            Tapi, apa-apa hal pun, kene cover macho! Buat macam tak ada apa-apa. Padahal jantung dah nak meloncat keluar daripada sangkarnya!
            “Kenapa ibu cakap macam tu? haa.. ibu betul lah kan, ada skandal dekat sini?” kalau boleh, memang tak nak.. tapi dah hati ni terpaut dengan anak teruna tu, walaupun bukan anak murid ibu secara rasmi!
            “Kenangan ibu banyak dekat sini. Just… jangan. Boleh?”
            Piqa akhirnya mengangguk. Apa lagi pilihan yang dia ada. Namanya pun, ibu. Mestilah meng‘ia’kan apa yang dia kata. Kalau tak… haih! Banjir satu kawasan Putrajaya ni, gamaknya!
*********************
            “KENAPAAAAA?!”
            Kalaulah boleh, dah lama Piqa menjerit!  Kenapa hati ini terpaut? Dengan si dia pula tu!
           Nama, Yus apa entah. Tapi orang panggil Odie. Umur? Hurm... mungkin sebaya. Sebab tak pernah nak tanya. Tapi tu pun, mungkinlah. Sebab, masalahnya... lelaki ni tinggi. Kut-kut junior Piqa ke, mana Piqa nak tahu, kan? Kelas? Aliran? Wallahua’lam!
            Tapi kan, kalau difikirkan balik, apa yang ibu cakap hari sebelum ni, tiba-tiba rasa macam nak ‘terjah’ ibu. Nak tanya betul-betul. Kenapa?  Pelik.
            “Piqa!!!!!!” terloncat Piqa dibuatnya. Piqa mengeluh. Tak ada suara lain ke, kalau nak terjerit-jerit nama dia? Lain lah kalau dia ini dikategorikan sebagai artis selebriti yang terkenal, meletup seantero dunia. Ada lah logiknya kalau nak terjerit-jerit pun.  Ini yang buat Piqa malas nak duduk rumah. Piqa dah minta ke asrama, tak dibagi. Tapi kalau duduk rumah…
            “Piqa!!!! Nur Faiqah Abdul Azeem!” Suara itu masih bergema. “Ye, abah!” Piqa melaungkan kembali.  Nasib lah, ibu terpaksa keluar malam-malam macam ni. Kenapa dugaan hidup ini agak… berat, mungkin?
            “Kau lupa ye? Mana kopi aku?!”
            Piqa bingkas menuju ke pintu bilik dan segera ke dapur. “Menyusahkan punya orang tua! Dahlah pangkat pakcik, tapi mengarahkan orang macam kuli batak dia aje! Kalau mati cepat lagi bagus!” Piqa membebel.
            “Lambat!” Pakcik yang dipanggil ‘abah’ itu mencemuhnya. Piqa cuma menjuihkan bibir secara sembunyi. Takut dipukul oleh pak ciknya itu. “Bukan kau tak tahu, aku ni bersusah payah nak membesarkan kau. Ini rupanya kau balas kembali? Lembab! Kalau boleh buat duit tak apa juga! Ini tak! Ada hati lagi nak masuk sekolah berasrama penuh, konon! Kau sedar diri sikit, kau tu tak adalah pandai mana. Lagi bodoh adalah!”
            Piqa cuma boleh menelan kata-kata itu. Penat mendengar! “Iye, Piqa tau! Memang Piqa bodoh! Sebab tu dapat straight A’s dalam PMR kan?!” entah kenapa, suara Piqa kembali memetir, membalas kata-kata ‘abah’nya itu.
            Akhirnya dia menggigit bibir. Tersedar, dia terlepas cakap. Niat nak lepas dekat hati aja. Tapi entah kenapa, terlepas di mulut pula! Piqa cepat berlalu ke dapur untuk menjerang air. “Bukan tak dapat tajaan. Siap dapat biasiswa lagi. Entah apa yang orang tua tu maksudkan mahal pun aku tak tau!” Piqa sambung menjawab dalam hati.
            Namun, seketika dia terfikir. Entah kenapa, dia merasa pelik, kenapa dengan ‘abahnya’ itu? Tidak pula memukul dirinya setelah terlepas cakap? Ataupun, adegan terlepas cakap tadi tu hanya mimpi?
            Setelah air dijerang, dengan secepat mungkin dia menyediakn kopi sepertimana yang dipinta ‘abah’nya. “Nah,” pendek saja ucapan Piqa. Memanglah pendek. Tak kan nak kena buat karangan pula, kan? Dah lah kita tak suka dia!
            ‘Abah’ cuma melihat isi kopi. Kemudian kelihatan ‘abah’ mencapai kopinya. Baru saja Piqa nak berlalu pergi, tangan Piqa direntap dan mulut Piqa dipaksa nganga. Dan tak semena-mena kopi yang Piqa buat tadi tu dicurahkan ke dalam mulut Piqa.
            Piqa cuba nak menjerit. Tapi panas! Memang ‘abah’ kalau minum kopi tak suka guna air suam. Semuanya mesti panas. Air yang ‘abah’ curah ke dalam mulut sudah penuh lalu melimpah ke tepi bibir. Air mata mula berkumpul di tubir mata. Tak tahan dengan kepanasan, tambahan pula dengan terhirisnya hati dengan perlakuan ‘abah’nya itu.
            Setelah kopi tadi habis, cawan itu dicampak ke tepi, lalu berderai. “Kau dah berani menjawab, kan? Nah! Terima balasannya!” ‘abah’ menjerit lalu berlalu pergi.
           Piqa dah tak tertahan lagi. Berbuku-buku dendam di hati. Walaupun dia cuba nak ketepikan dendam tersebut, namun apa yang ‘abah’ lakukan itu sudah melampau! Sangat melampau!
            “Melampau!!! Kau siapa nak arah-arahkan aku? Kau bukan bapak aku! Kau sekadar menumpang! Tapi berlagak lebih! Aku rela mati daripada hidup bawah telunjuk kau lah! Abah konon! Abah bertopengkan syaitan! Abah kau! Aku tak pernah ada abah macam kau! Bedebah!” Piqa terus menjerit tanpa berlindung lagi. Piqa harus bangkit! Siapa pak ciknya itu, kalau nak dibandingkan dengan dirinya!
            Daripada ‘abahnya’ sudah masuk ke dalam bilik, terus ‘abahnya’ keluar menerpa ke arah Piqa. “Apa kau kata tadi?” matanya terjegil marah. Ahh! Peduli apa! Piqa pun ada hak untuk menegakkan apa yang betul, dan menundukkan apa yang salah!
            “Aku kata kau ni ‘abah’ yang bertopengkan syaitan! Aku tak akan pernah mengaku kau abah aku!” Piqa masih lagi menjerit. Melepaskan segala amarah. Selama ini dia pendam, bersabar dan menerima dengan apa adanya. Namun tidak pada hari ini dan seterusnya. Lantak lah apa nak jadi pun!
            Tangan ‘abah’ mula naik dan sudah laju hendak menampar Piqa. Namun, berbekalkan silat yang dipelajari, senang saja Piqa mematahkan serangan. “Keluar kau daripada rumah ni! Keluar!” ‘abah’ itu berasa tercabar. Bagaimana dia yang selama ini yang mendera gadis itu, kalah pada hari ini?
            “Silap besar, pak cik! Pak cik yang tersesat masuk rumah ni! Ibu yang kutip pak cik, ingat?! Tapi pak cik bukan nak hargai. Malah melebih-lebih pula tu!” Piqa memarahi pak ciknya itu. Namun apa yang ‘abah’ Piqa buat adalah cuma ketawa bagaikan ada sesuatu yang merasuk. Ketawa pun dah macam rupa syaitan!
            “Kau  nak tahu? Ibu kau yang kau sayang separuh mati tu sebenarnya pelacur? Kau pun anak haram! Dan ibu kau, yang kau katakan dia sayang kau tu, dah serahkan semua harta dia dekat aku! Dekat aku, kau tahu tak? Jadi rumah ni aku yang punya!” Piqa terkedu. Terdiam. Tak! Tak mungkin Ibu buat macam tu.
            Tepat pada masa, ibu pulang ke rumah. “Piqa! Piqa buat apa ni?” Ibu menjerit lalu segera menarik Piqa menjauhi daripada ‘abah’ Piqa.
            “ibu, selama ibu tak ada dalam rumah, Piqa selalu kena buli dengan orang tua itu, ibu tahu? Kadang-kadang Piqa rasa macam Piqa ni mangsa dera, tahu?” Piqa mengadu. Selama ini memang dia diamkan. Sebab baginya, dia boleh uruskan masalahnya. Namun, sampai bila perlu dia pendam?
            “Tapi dia abah Piqa!” suara Ibu turut memetir. Piqa menjeling ke arah ‘abah’nya. Jelas, senyuman sinis terhias di bibir lelaki itu.
            “Tak, bu. Piqa tak akan pernah ada abah macam orang tua jahanam macam dia!”
            Pap!
            Piqa terkedu. Ibu menampar dirinya? Ibu?
            Namun Piqa sekadar senyum. “Tampar aje?” Piqa mencabar. Ibu kelihatan menggeletar. Piqa nak menguji. Sejauh mana yang ibu sanggup nak memperlakukan dia sebegitu demi lelaki jahanam itu.
            “Kau nak ceritakan segalanya? Aku dah cerita dah pun.” Pakciknya itu tiba-tiba mencelah. Menyemak ajelah!
            Namun, reaksi ibu lagi dahsyat. Ibu menangis. “Ibu, jangan cakap.. benda tu semua benar. Tak, kan? Ibu tak buat macam tu, kan?” suara Piqa bergetar. Tak mungkin! Kemudian matanya melingas ke arah pak ciknya. “Kau lelaki jahanam! Tua tak sedar diri! Aku tau, kau ugut ibu, kan?! Kau kejam! Syaitan! Binatang!!!!!”
            Ibu kekal diam. “Piqa…” perlahan suara ibu memanggil namanya. “mungkin ini adalah kali terakhir ibu panggil nama penuh anak ibu. Nurul Faiqah Abdul Azeem…” ibu menghela nafas sedalam-dalamnya sebelum menjerit lagi dengan jujuran air mata.
            “Keluar kau dari rumah aku! Kau bukan anak aku!”
            Jeda. Buat kali kedua, dia terkedu. Ibu?
            Dan itulah perkara yang paling akhir dia ingat, sebelum Piqa sendiri mengemas semua barangnya dan bergerak keluar dari rumah itu.
*******************
            “PIQA!”
            Langkah Piqa terhenti. Macam pernah dengar suara itu. Sepertinya suara itu telah ‘check in’ di mindanya. Dah bertahun rasanya. Semenjak peristiwa hitam itu berlaku. Itu dulu, sewaktu dia berumur 16 tahun. Dan kini, dia 23 tahun. Dan menjalani kehidupan yang sadis!
            “Piqa, ingat saya tak?” Lelaki itu menyapa. Piqa mengerutkan dahi. Siapa? Tapi, kenapa hatinya berdebar?
            Kepala Piqa digaru perlahan. Gagal mengingati siapa lelaki itu.
            “Tak ingat? Okey, klunya, dulu saya sekolah dekat Sekolah Alam Shah,” mata Piqa terkebil-kebil. Masih lagi gagal mengingati lelaki itu.
            “Megat lah! Sedihnya, Piqa tak ingat saya!” Megat bernada merajuk.
            “Yang saya ingat, kawan saya dekat SAS dulu cuma, Odie, Kimi, dengan Apek. Tu aje. Bila pula kita ni berkawan, ya?” Piqa tanya lurus.
           Megat senyum. “Kita tak pernah berkawan. Awak tak pernah tegur saya, dan saya pun tak pernah tegur awak. Tapi, kalau awak ingat ni.” Megat mengeluarkan sesuatu daripada kocek seluarnya.
            Piqa kerutkan dahi. Wallet? Dia keluarkan wallet? Nak bagi aku duit ke apa? Namun apa yang Piqa sangkakan adalah salah. Dia keluarkan rantai tangannya yang pernah dia hilang dulu-dulu.
            Piqa terdiam. Itu… pemberian ibu. Sinar hampa mula kelihatan. Kecewa dengan ibunya. Kecewa dengan keluarganya. Nasib baik dia masih hidup sampai sekarang!
            “Rantai tangan tu…” Piqa tak dapat nak menjawab lanjut. Megat tersenyum. “Awak punya. Saya terjumpa dulu. Nak pulangkan, tak tahu siapa punya. Nasib baik ada Odie yang bagitahu,” jelas Megat.
            “Oh! Dan, saya datang dengan Odie,” jelas Megat lagi tanpa dipinta. Kelihatan seseorang datang daripada belakang dan menepuk bahu Megat. Piqa terkedu lagi sekali. Odie!
            “Yo! Kau tengok, siapa kita jumpa!” Megat teruja. Odie memaku pandangan ke arah Piqa.
            “Piqa! Macam mana kau boleh hidup balik?” Odie bertanya. Tersentak Piqa dengan soalan Odie. Hidup balik? Apa maksudnya?
            Kerutan di dahi Piqa menjelaskan sedikit tentang diri Piqa terhadap Odie. “Jangan kata yang kau selama ni tak pernah mati,” Odie berkata perlahan. Kalau betul, maksudnya membazir saja dia menangis dulu!
            “Piqa tak…” jawab Piqa perlahan.
            “Apa dah jadi?” Odie bertanya semula.
            “Woooow! Okey, apa kata kita duduk dulu? Penat lah berdiri,” Megat mencelah. Piqa mengerling ke arah jam tangan Odie. “Mungkin, lain kali kut, Odie, Megat. Sebab Piqa ada appointment lepas ni,” jelas Piqa.
            “Kau kena pastikan kau cerita semuanya dekat aku, Kimi dan Apek, okey?” Piqa hanya mengangguk bagai menerima arahan, bukan permintaan.
            “Nak nombor?” Odie meminta. Piqa menarik nafas sedalam-dalam yang mungkin. Rasa macam nak menangis pun ada!
            “012 456 8930.” Piqa berkata perlahan. Odie yang dah sedia dengan telefon bimbitnya segera menekan papan kekunci telefon BlackBerry miliknya. Membuat panggilan. Kemudian, apabila deringan pertama berbunyi, terus Odie tamatkan panggilan.  “Itu, nombor aku,” katanya lagi.
            Piqa mengangguk. “Piqa pergi dululah.” Terus Piqa melangkah tanpa berpaling.
**********************
            Setelah dijanjikan beberapa hari yang lalu, dan kini mereka bertemu juga. Itu pun Odie terpaksa menjemput Piqa daripada kampus Piqa. Kalau tak, manakan mahu Piqa pergi. Malas!
            Dan kini, mereka berhadapan. Cuma berdua. Dalam hati Piqa, dia menggerutu tak puas hati. ‘kalaulah tahu, dah lama aku bawa kawan,’ namun dia diamkan saja. Iya lah. Rindu pun, rindu juga pada Odie. Nak juga bertanya padanya tentang khabar ibunya dan ahli keluarga yang lain.
            “Piqa, sihat?” Entah dengar entah tidak soalan Odie itu, Piqa terus mengangguk. Kepalanya sesak dengan soalan di minda yang teruja hendak bertanya.
            “Ibu macam mana?” dia terus bertanya. Odie terdiam.
            “Aku tak tahu. Serius aku tak tahu. Dah lama aku tak jumpa cikgu. Tapi aku teringin nak tahu. Fasal kau,” Odie cuba mengalih topik. Tak mahu lagi berdalih. Nak juga tanya pasal Piqa.
            “Piqa… Masih hidup, macam ni. Tapi Piqa tak pernah mati,” Piqa berhenti. Dalam dilema juga sebenarnya. Perlukah dia memburukkan keluarganya pada orang luar seperti Odie?
            “Kau…” Odie kehilangan kata. Betul-betul tak terkata. Keliru!  Tetapi matanya meminta supaya situasi yang lepas dijelaskan.
            “Maaflah, untuk Piqa bercerita, memang Piqa tak sanggup nak memburukkan ibu. Sebab apa-apa hal sekalipun, ibu yang membesarkan Piqa. Jadi, Piqa masih mengenang jasa. Biarlah ibu berkata belakang. Tapi apa yang Piqa tahu, walaupun Piqa ni dihalau dari rumah tanpa sebab yang Piqa sendiri jelas, tapi Piqa…” akhirnya dia terdiam. Pening dengan jawapan sendiri.
            “Apa yang ibu cerita kat Odie, sebenarnya?” Piqa bertanya terus. Tak mahu lagi berselindung.
            Odie menarik nafas sedalam mungkin. Keluhan dilepaskan. “Macam ni, ada satu hari tu, aku dah naik pelik dengan ketidakhadiran kau kat sekolah kita orang. Aku tanya lah dekat cikgu. Cikgu cakap kau dah balik kampung. Belajar kat sana sambil temankan nenek kau,”  Piqa mengangguk. Faham. Namun dia tetap diam. Seolah-olah memberi laluan kepada Odie untuk terus bercerita.
“Kemudian, waktu cuti, kita orang nak lawat kau di kampung, sambil nak jalan-jalan satu Malaysia. Kira macam nak rai kita orang habis SPM lah kiranya. Jadi, aku tanya dekat cikgu, kampung kau kat mana. Cikgu tanya kenapa. Dan aku jawablah aku dengan dua lagi tu nak melawat kau. dan dari situ lah aku dapat berita, kau dah mati,” aku nak cerita lagi bagaimana kita orang terkejut, lalu aku pendam rasa sehingga aku meratapi pemergian kau kepada Ilahi. Tapi aku takut, kau bersangka buruk. Bisik Odie sendirian.
            Piqa hanya diam. Luka di hati berdarah juga kembali. Andainya. Andainya! Katakanlah waktu tu Piqa tak ‘hentam’ pakciknya. Pasti hidupnya bahagia. Andainya dia diam saja..
            Air mata Piqa mula berkumpul di tubir mata. Selama dia merantau, sehingga dia berjaya hidup di atas kaki sendiri, tak pernah dia terlintas hendak menuduh ibunya itu meninggal. Dia tetap diamkan diri dan menganggap ibunya rapat dengannya seperti dahulu. Namun itu semua tak dirasai oleh ibunya.
            ‘Ya Allah, tabahkan aku, Ya Allah,’ Piqa berdoa dalam hati.
            “Aku tahu, cerita ni tak sama dengan apa yang kau alami. Apa dah jadi?” Odie bertanya. Daripada pandangan Piqa sendiri dia dapat tahu. Mata adalah cerminan hati.
            Piqa hanya menggeleng. Tetapi hanya mahu menerangkan serba sedikit. “Piqa sebenarnya dihalau. Piqa kena dera kat rumah. Tapi bukan ibu yang dera. Pakcik Piqa. Jadi satu hari tu, Piqa pertahankan diri Piqa. Dan Ibu balik waktu tu. Ibu, apa lagi. Terus pisahkan Piqa dengan pak cik Piqa. Piqa rasa marah dekat pak cik Piqa sebab..” Piqa berhenti. Menghela nafas sambil membuat keputusan tak mahu bercerita secara terperinci. “Ada sebabnya. Tapi Ibu macam membenarkan lagi tuduhan pak cik Piqa tu. lagi Piqa nak melawan, Ibu marah Piqa dan terus menghalau Piqa keluar daripada rumah waktu itu juga dan tak pernah Piqa jumpa dengan Ibu lepas daripada tu,” Piqa pula bercerita.
            Odie menghela nafas berat. “Odie boleh tolong Piqa tak?” Odie hanya menunjukkan reaksi mendengar.
            “Piqa nak minta tolong Odie, carikan ibu. Piqa nak jumpa ibu. Piqa nak ibu Piqa setelah tujuh atau lapan tahun tak jumpa ibu. Boleh tolong Piqa?” mendayu suara Piqa.
            Odie hanya mengangguk. Memang bermula daripada dia terserempak dengan Piqa, dia mula operasi mencari cikgunya. “Okey. Insya Allah Odie akan usahakan selagi Odie mampu,”
            “Piqa… dah lain,” Odie menyambung. Nak tukar topik, mungkin.
            Piqa hanya senyum. Namun senyumnya cukup hambar. “Pengalaman mengajar Piqa untuk tabah dan matang. Serta mengajar bagaimana nak menjadi wanita sejati. Alhamdulillah,” namun pengalaman tak pula mengajar bagaimana hendak padamkan luka lama dan sekarang.   Luka lama kembali menoreh hatinya.
            “Sebenarnya, kan, Piqa...” Odie dah nekad! Dia perlu merebut peluang yang mungkin ini terakhirnya. Tak kira!
            Piqa hanya diam. Menunggu apa yang Odie hendak katakan lagi. “Aku terkadang rasa aku rindu kau,” Piqa terus membisu. Namun anggukan kecil Piqa itu tak cukup bagi Odie. Perasaan yang terbuku tak pernah cukup untuk digambarkan dengan ‘terkadang aku merindu kamu,’ tidak! Semestinya Piqa tak akan faham.
            Odie berdeham kononnya hendak ‘melancarkan’ proses menelan air liur yang terasa bagai ada pepasir besar bersama saliva. “Odie.. dah lama suka dekat Piqa,”
            Sepotong ayat. Tiga perkataan. Satu objektif.
            Badan Piqa tertegak. Tak mungkin! “Sejak bila?” soalan terus meluncur laju keluar daripada mulutnya tanpa Piqa sempat berfikir.
            “Sejak kau mula rapat dengan aku,” Odie menerangkan. Piqa menggeleng. Tak mungkin! Semua ini pasti mimpi!
            Mimpi baginya. Tapi realiti bagi Odie. Dia nekad!
            “Tak mungkin!” Piqa berkata juga akhirnya. “Kenapa?” terus Odie bertanya.
            “Sebab, kenapa dulu, waktu Piqa bagi petunjuk Piqa suka Odie, Odie buat tak layan? Waktu Piqa meletakkan Odie nombor satu, Odie tak perasan? Dan Piqa rasa macam Piqa dah putus harapan untuk terus mengharap Odie. Tapi apa yang Piqa boleh buat adalah berdoa supaya Odie adalah orang yang akan melindungi Piqa. Odie main-main, kan?” Piqa berkata dnegan laju, dengan cuma menggunakan dua hela nafas.
            “Aku mana nak tahu!” Odie menegakkan pendiriannya. “Dan tak, ini bukan gurauan,” jeda seketika. “Aku serius. Nak jadikan kau pelengkap tulang rusuk kiri aku,”
            Piqa dah tak terkata. Tangannya menekup mulutnya kerana tak sangka, doanya telah termakbul. Apa yang dia boleh balas adalah anggukan tanda setuju.
***********************************
            Cerita tentang ibunya terkubur sekali dengan jasadnya. Ibu dah pergi menghadap Ilahi. Tiada siapa tahu kenapa, apa sebabnya, yang Piqa dijadikan ‘medium’ atau mangsa.
            Pak ciknya juga akhirnya tertangkap. Kerana dikhabarkan bahawa selepas Piqa dihalau, ibunya sering dibelasah oleh pak cik. Jadi Orang ramai membantu ibu ‘menyumbatkan’ pak ciknya di dalam lokap.
            Piqa berdiri di tepi pusara ibu. Harta ibu semua telah diberikan kepada anak-anak yatim. Jadi, Piqa tinggal sendirian dengan seribu satu persoalan yang tiada jawapan.
            Piqa duduk perlahan. Air mata menetes di pipi tidak pula diseka. Al-Fatihah disedekahkan kepada ibunya sebelum dia bangun dan berlalu pergi. Pergi meninggalkan seribu satu kenangan.
Dia yakin, selepas ini, dia pasti boleh mengorak langkah maju ke hadapan. Meninggalkan duka semalam. Daripada jatuh, dia akan bangun seperti dulu. Dan terus menuju ke destinasi hidupnya yang satu!
********************************
Suasana senyap itu bagaikan membunuh Odie. Sungguh dia tak biasa. Kalau boleh dia nak bersama dengan Piqa yang dulu. Yang ceria. Yang tak pendiam. Sentiasa punya jenaka untuk buat dia tertawa.
“Piqa…” Odie panggil perlahan. Dah beberapa minggu mereka akad nikah, diijabkabulkan. Namun amat sukar Odie nak ‘sesuaikan’ diri dengan Piqa yang ‘baru’ ini.
Piqa hanya memandang Odie yang sedang memandu. Tanpa suara. Jelas, moodnya tidak begitu stabil. Kalau boleh nak aja dia menangis tak berhenti. Odie yang perasan pandangan Piqa terus memberhentikan kereta di bahu jalan. Tangan Piqa digenggam kemas. Anak mata Piqa ditenung sedalam mungkin.
Piqa hanya membalas dengan pandangan kosong yang mula kabur. Air mata mula berkumpul di tubir mata. Tinggal nak menetes aje. Dan… apabila mutiara itu jatuh ke pipi, Odie mengesat air mata Piqa.
“Abang tahu, Piqa sedih. Piqa nak tahu pengakhirannya. Piqa nak tahu siapa Piqa. Sabar, ya? Abang ada satu tempat nak bawa Piqa,” Odie memujuk dengan suara sayu. Dia sendiri tak faham, kenapa suara dia yang terlebih-lebih nak sayu.
Piqa mengangguk. Tak sempat Piqa tarik balik tangannya, Odie dah tarik dia dahulu ke dalam pelukan lelaki itu. Tanpa tertahan, perasaan yang cuba disembunyikan tadi terhambur juga. Dia mengangis selebat mungkin. Nak hilangkan kekusutan.
Setelah beberapa minit, Piqa berhenti. Pelukan yang makin erat semasa dia menangis, terasa sedikit terlerai.
Odie hanya diam. Setelah yakin Piqa makin okey, terus dia pandu kereta ke destinasi yang dituju.
*****************
Piqa terpegun. Penjara?
“Buat apa….” Piqa tak dapat nak habiskan ayat. Terkedu.
“Jumpa dengan pak cik Piqa lah. Jom,” Odie mengajak Piqa keluar daripada kereta setelah kereta selamat diparkir.
Segala prosedur yang perlu dilalui untuk berjumpa dengan pak ciknya, Piqa hanya berfikiran kosong. Tak sangka. Sungguh tak sangka.
Dan akhirnya setelah pakciknya duduk di hadapan Piqa, Odie yang bersalaman dulu dengan pakciknya.
“Assalamualaikum.” Piqa hanya menunduk apabila terasa pandangan pakciknya jatuh kepadanya. Salam pakciknya dijawab perlahan di dalam hati.
“Anak ini siapa?” Soalan itu terasa seperti ditujukan kepada Odie. Odie senyum lalu menjawab. “Suami kepada Piqa,”
Pakciknya itu kekal diam selepas daripada itu. Rasanya, kalau ada cengkerik tentu lagi meriah.
“Sebenarnya, kami datang nak tahu kebenaran. Tentang Piqa, dan mak Piqa. Cikgu saya,”
Akhirnya Odie yang berbicara. Nak menunggu Piqa cakap, memang lama lagilah nampaknya.
“Apa yang anak nak tahu?” tenang, pakcik Piqa bertanya.  “Apa maksud pak cik dengan ‘mak kau tu pelacur’?” tegas, Piqa bertanya. Nak selesaikan sekarang juga!
Pakciknya hanya mengeluh. “Tak, Piqa. Mak Piqa baik. Cuma disebabkan salah langkahnya dahulu, Piqa lahir ke dunia,”
Piqa berkerut dahi. Salah langkah?
“Maksud pakcik?” Odie pula bertanya. Kelihatan pak ciknya menghela nafas panjang. “Dia pernah bercinta dengan seorang budak SAS. Dan semasa bercinta itulah yang dia salah langkah. Dia buat perbuatan terkutuk tu. padahal lelaki itu sebenarnya nak mainkan dia saja. Walaupun sekali, entah kenapa Piqa terbentuk juga dalam Rahim mak Piqa,” jelas pak ciknya.
Perbuatan terkutuk? “maksudnyaaa…” ayat Piqa tergantung.
“Pakcik tak tipu kali ini. Serik dah pakcik nak berbuat kasar terhadap kamu. Sampai mak kamu mati di tangan pakcik sendiri. Itu apa yang orang kampung kata.” Pakciknya membuat keterangan. Pengakuan sebenar.
“Tapi, macam mana sampai Piqa terlibat pula dalam kemelut ini selepas dia berumur 16 tahun?” Odie masih tak berpuas hati. Walaupun pedih mendengar, tapi nak tahu juga sampai ke penghujungnya!
“Nak dijadikan cerita, untuk mendapatkan perlindungan untuk Piqa, ketika Piqa masih dalam rahim lagi, mak Piqa dah minta tolong dekat pakcik. Sebab waktu tu lelaki yang terlanjur dengan mak kamu tu dah lari entah ke mana. Jadi, daripada situ kami buat perjanjian. Atas semua yang mak Piqa dapat dalam wasiat arwah nenek, dapat ke atas pak cik. Pakcik juga cakap, kalau sampai satu tahap Piqa tak tahan nak kena dera dengan pakcik, Piqa akan dihalau serta-merta. Pak cik tak tahu kenapa pak cik buat macam tu. Tapi pak cik nak juga buat. Dan tak sangka. Akhirnya apa yang pak cik tunggu-tunggukan itu pun tiba. Itu yang…”
“Yang saya dihalau? Hanya sebab itu? Hanya itu? Pakcik tahu tak, saya menderita? Saya merempat, pakcik! Merempat! Nasib baik saya yang pakcik katakan bodoh ni, pandai mencari rumah anak-anak yatim! Nasib baik, pakcik tahu?” Suara Piqa mula naik satu oktaf ketika memotong penjelasan pakciknya. Perit baginya untuk memikirkan perkara yang lepas. Sangat susah!
“Pakcik tak tahu, Piqa. Pakcik minta maaf. Pakcik insaf sekarang.” Namun Piqa hanya menggeleng dan mengangkat punggung. “Benda dah lepas, pakcik. Piqa pun dah penat. Penat dengan sandiwara dunia ini. Dahlah pakcik. Piqa maafkan. Tapi pakcik, Piqa tak boleh nak lupakan apa yang pak cik dah lakukan terhadap Piqa. Piqa balik dulu, assalamualaikum,”
Odie pula yang terpinga-pinga. Piqa marahkah? Tak ada rupa marah pun? Muka tak ada reaksi pun?
“Pak cik, doakan saya dengan Piqa berpanjangan jodoh, ya?” entah kenapa Odie pula yang berkata begitu. Salah channel betul lah Odie ni! Selepas bersalam, Odie gegas mengejar Piqa.
“Piqa, tak baiklah.” Odie menegur perlahan setelah dapat bersaing langkah dengan Piqa.
“Tak sangka. Akhirnya macam itu kisah Piqa.” Piqa mengeluh.
“Hei! Jangan mengeluh. Allah tak akan menduga seseorang tanpa luar kemampuannya, ingat?” Odie menegur lagi. Piqa hanya mengangguk. Faham. Matanya seolah-olah berkata.
“Dan, sebelum awak yang buka mulut nak minta cerai, saya tak akan benarkan. Saya tak terlintas langsung untuk menceraikan awak sebab awak tak tahu betapa gilanya saya merindui awak setelah awak ‘pergi’,” Odie menggenggam tangan Piqa.
Baru saja Piqa nak berkata tentang hal tersebut. Namun hatinya lega. Kini hatinya tenang.
Terus langkahnya dihalakan ke arah suaminya yang setia menunggu di hadapan. Senyuman diukir oleh Odie. Piqa menyambut huluran tangan Odie, juga dengan senyuman. Masing-masing berazam hendak menuju bahagia. Bersama. Meninggalkan kenangan yang pahit di belakang.


No comments:

Post a Comment