Thursday 12 February 2015

Sepasang Satin Merah Dadu









“Sedap ke novel ni?” Rafizi memandang Oni yang diam dan memandang ke hadapan. Dia melambai-lambai tangan di hadapan muka Oni yang sepertinya sudah berada jauh di tempat lain. Sudah ke bulan agaknya fikiran Oni melayang. Matanya tembus pandang tangan Rafizi yang sudah berulang kali digerakkan di hadapan mukanya.


“Oni?”

Oh….

Cepat-cepat Oni kembali ke dunia nyata. Oh, apa aku buat tadi? Berangan-angan ke mana?

“Oh… apa Cikgu Fizi tanya tadi?”

“Saya tanya, sedap ke novel ni?”

“Oh… tak sedap sangat, sedap lagi keropok goreng makcik tu.” Tunjuk Oni ke arah makcik yang jaga gerai jual keropok, pisang goreng dan air batu di seberang jalan.

Alamak! Aku melalut ke mana ni?

Tiba-tiba Oni terdengar Cikgu Rafizi ketawa. Perlahan mulanya, tapi semakin lama semakin kuat pula. Apa kena dengan dia ni?

“Oni lapar ke? Oni belum makan ya?” tanya Rafizi sambil meletak semula novel yang dipegangnya tadi ke tangan Oni. “Saya pergi beli keropok goreng depan tu ya.” Rafizi terus berjalan laju melintas jalan untuk ke gerai keropok di hadapan sana.

Eh? Apa yang terjadi? Aku kata lapar ke tadi? Aku salah cakap ke tadi? Sel-sel otak Oni sedang berhubung dan bekerja keras untuk mentafsirkan apa yang sedang terjadi di hadapannya sekarang. Rasanya dia tak sebut langsung pun tentang lapar atau hendak makan keropok goreng. Mereka berdua bukankah sedang berbincang tentang novel seram ND Lili ni tadi?

Isy… isy… isy...!!!


  






“Apa emak cakap tadi?” Addin yang baru sahaja hendak melangkah ke biliknya terus berpaling memandang emak yang sedang mengukus pulut kuning di atas dapur.
“Hei, kamu tak dengar apa emak cakap? Bukan ke kamu duduk depan emak tadi?” tanya emaknya apabila dilihatnya Addin seperti orang yang terkejut sahaja mendengar kata-katanya, kemudian minta diulang sekali lagi. Apa pekak sudah anaknya itu sampaikan tidak dengar apa yang baru dicakapkannya tadi. Rasanya dia tidak berbisik tadi, kenapa pula tak dengar?

“Emak nak pergi merisik Oni? Oni?” Addin memandang wajah emaknya lagi, mencari kepastian di situ. Dalam hatinya galau semacam. Untuk siapa? Risik untuk aku? Untuk Abang Rafizi?

Makcik Temah memandang anak bongsunya yang berwajah ingin tahu. “Abang kamu tu yang suka dan berkenan pada Oni, dia minta emak risik dan pinangkan Oni untuk dia. Emak pun dah lama suka pada Oni. Emak suka sangat kalau Oni jadi menantu emak.”
“Abang tu bercinta dengan Oni ke selama ni mak?” tanya Addin. Dia tak jadi untuk masuk ke bilik. Dia berpatah balik semula ke dapur dan menarik kerusi. Sebenarnya kakinya menggeletar saat emak kata mahu merisik Oni untuk Abang Rafizi. Getarannya sama seperti dalam dadanya ketika ini. Kuat. Kencang.

Pedih rasa hatinya.
Bagaimana dengan perasaan hatinya pada Oni. Dia juga suka dan cinta pada Oni. Dah lama perasaan begini tidak muncul dalam hatinya. Sedang hatinya diulit bahagia dengan kehadiran Oni, tiba-tiba Oni itu mahu dipinang untuk Abang Rafizi? Abang? Dia suka pada Oni? Tak pernah pula Addin terfikir akan perkara ini boleh berlaku.











“Emak kata dia akan datang merisik awak.” Addin semakin pantas meneruskan suapan.
“Eh, awak pun tahu?” Mata Oni bulat memandang Addin. Tak sangka pula hal ini tersebar cepat. Ingatkan orang tua mereka sahaja yang tahu kerana rasanya dia belum memberi kata putus berkenaan hal ini. Lagipun kata emak, emak Cikgu Fizi pun baru berkias-kias.

“Awak memang bercinta dengan abang ke selama ni?” Begitu, Addin menjawab pertanyaan Oni dengan pertanyaan juga. Dia meneguk jus oren seteguk, kemudian menolak pinggan chicken chop yang sudah licin tak bersisa.

Oni diam, tidak menjawab soalan itu. Otak-otaknya sedang bekerja keras sekarang. Kenapa Addin bertanya soalan begitu? Kenapa Addin yang ada di hadapannya kini lain sungguh, tidak mesra dan humor seperti selalu. Kenapa dia begitu serius? Kenapa? Kenapa? Kenapa bertanya soalan yang bukan-bukan petang ni?

“Kenapa tak jawab? Betullah tu, bercinta diam-diam. Macam dalam drama kat TV tu?” celah Addin. Dia jadi geram apabila Oni diam tidak menjawab. Betullah tu.
“Mengarutlah!” begitu dia menjawab sepatah memberi respons pada kata-kata dalam hatinya tadi.

“Mengarut?” Addin mengangkat muka. Dia memandang wajah Oni. Eh, boleh dia cakap macam tu? “Takkan emak saya bercakap bohong pula.” Marah Addin.

“Bohong fasal apa?”

“Fasal awak dengan abanglah!” Addin terus menyuap mi hailam ke mulut. Huh, sementara ada selera ni, baik dia makan sampai habis. Nanti apabila dah macam-macam keluar daripada mulut Oni nanti, hilang pula selera makannya. Rugi sahaja mi hailam yang sedap ni tak habis, membazir begitu sahaja. Membazir tu kan amalan syaitan.

“Makcik cakap apa fasal kami?”

“Kami?”

Kedua-duanya diam. Oni menyandarkan tubuhnya ke kerusi dan menyilangkan tangan. Rasanya dia sudah menemui jawapan sekarang. Addin berperangai pelik begini tentu ada sebabnya.






















No comments:

Post a Comment