Tuesday 24 September 2013

Ulasan novel B.O.M.: Super Jejul



Super Jejul adalah sebuah buku cerita di bawah kategori Buat Orang Muda (Teladan). Novel ini mengisahkan, Jejul seorang kanak-kanak istimewa menjalani kehidupan bersama keluarganya iaitu, Ecah, Ema dan Ibu. Mereka adalah keluarga yang paling daif dalam Kampung Setiakasih. Penduduk kampung tidak menyukai keluarga Jejul terutama sekali Jejul kerana sifatnya yang masih berakal seperti keanak-anakan walaupun usianya sudah meningkat dewasa. Orang-orang kampung terutama Ari dan kawan-kawannya suka menghina dan memukul Jejul walaupun dia tidak berbuat apa-apa kesalahan. Namun, masih ada insan yang sudi mengambil berat tentang mereka walaupun dipandang serong oleh orang kampung. Sehinggalah berlakunya satu peristiwa yang membuatkan orang kampong dan orang-orang yang suka berbuat khianat terhadap Jejul dan ahli keluarganya sedar yang mereka telah salah menilai Jejul dan keluarganya.


Apakah yang telah berlaku kepada penduduk di Kampung Setiakasih sehingga mereka tersedar daripada kesilapan mereka? Sekiranya anda ingin tahu, dapatkan naskhah Super Jejul sebagai koleksi rak buku anda




Buku cerita ini sangat memberi pengajaran kepada pembaca tak kira untuk dewasa mahupun kanak-kanak. Ia juga dapat mendidik moral dalam diri kanak-kanak yang baru mengenal dunia. Walaupun ceritanya ringkas tetapi cara penggarapan ceritanya sangat menarik untuk pembaca meneruskan pembacaan. Hasil tulisan yang mampu memberi pelbagai perasaan pada pembaca. Pembaca akan tersentuh dengan ketulusan hati Jejul yang tidak sempurna dari segi akal fikiran tetapi mampu memberi kasih sayang dengan seikhlas hatinya yang mulia.

Begitu juga dengan Eca dan Ema yang tidak pernah hilang hormat terhadap Jejul walaupun Jejul banyak kekurangan. Mereka saling sayang menyayangi dan menjaga antara satu sama lain. Eca dan Ema juga tidak menjadikan kemiskinan sebagai penghalang buat mereka untuk terus berjaya.

Sebuah lagi pengajaran yang dapat dicungkil daripada kisah Super Jejul ini adalah, sikap yang ditunjukkan oleh sebuah keluarga yang banyak membantu Jejul walaupun dipandang serong oleh masyarakat kampung itu sendiri. Di sini dapat dibuktikan bahawa setiap orang perlu ada rasa tanggungjawab untuk melakukan perkara yang betul kerana perkara yang betul tetap berada di landasan yang benar walaupun hanya seorang sahaja yang melakukannya, manakala perkara yang salah tetap salah walaupun hampir semua orang melakukannya. Hal ini kerana, pandangan Allah itu lebih penting berbanding pandangan mata manusia.

Banyak lagi pengajaran yang mampu dipelajari melalui cerita ini. Anda perlu terokainya sendiri untuk berasa lebih dekat dengan Super Jejul. SELAMAT MEMBACA.

No comments:

Post a Comment