Tuesday 7 January 2014

Aku Belajar daripada Surah al-Baqarah

Subhanallah, betapa agungnya anugerah Allah berikan kepada aku. aku memang tidak mampu untuk membalas segala pemberian Allah ini. Aku dahulunya berbeza dengan aku yang sekarang.
Sejujurnya aku pasti menitiskan air mata apabila aku melihat gambar-gambar lama aku dahulu yang mana aku sendiri rasa malu akan diri aku dahulu.

Dahulu aku seperti wanita yang dikatakan oleh Rasulullah yang mana akan wujud sekumpulan wanita yang berpakaian tetapi telanjang. Akulah wanita itu, Ya Rasulullah. Aku lupa akan pesanmu itu. Aku lalai dalam menjalankan tanggungjawab aku sebagai muslimah. Aku membawa ayahku bersama-sama dengan aku ke neraka. Ya Allah, aku 
takut akan dosa-dosa yang aku lakukan ini. Aku tidak menutup aurat selama aku hidup ini Ya Allah. 

Dahulu aku tidak mengerti kenapa ada wanita-wanita Islam yang memakai stoking. Dahulu aku tidak mengerti kenapa harus wanita-wanita Islam itu memakai tudung labuh. Dahulu juga aku tidak mengerti kenapa perlu mereka memakai purdah. Jahilnya aku dalam ilmu agama aku sendiri. Aku ambil ringan tentang aurat ini. 

Siang dan malam aku tunduk sujud kepada-Mu Ya Allah. Aku mohon agar Engkau membuka pintu taubatku, supaya Engkau tunjukkan aku ke jalan yang Engkau redhai. Biarpun bertahun lamanya aku menunggu doaku dimakbulkan. Aku bersyukur, akhirnya Engkau makbulkan jua doaku. 

Dahulu aku seorang yang sentiasa up to date dengan fashion. Dahulu aku tengok wanita-wanita Islam yang memakai tudung labuh itu, kolot, pakaian ketinggalan zaman, tidak follow up dengan fashion sekarang. Malah aku takut untuk dekatkan diri dengan mereka kerana aku takut ditegur oleh mereka. 

Namun, sekarang semuanya dah berubah. Semuanya ini kerana anugerah yang Engkau berikan Ya Allah. Aku mulakan langkah awal aku dengan memakai stoking. Walaupun aku tahu aku masih tidak sempurna aurat ku, namun aku akan terus mengubah penampilan aku. Kemudian, aku labuhkan tudung aku hingga paras dada, aku tidak mahu menayang bentuk dada aku kepada lelaki ajnabi. 

Akhirnya aku terus melabuhkan bajuku hingga bawah paras punggung. Aku mula memakai baju yang longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh. Biarpun dahulu aku tengok mereka yang memakai baju longgar itu sangatlah tidak menarik, namun sekarang akulah antara mereka yang tidak menarik perhatian orang itu. Aku lupakan segalanya mengenai fashion dunia sekarang, aku sudah jumpa apa yang aku cari selama ini. Aku bersyukur Ya Allah, kerana aku belum terlambat untuk berubah. 

Memang benar apa yang difirmankan oleh Allah dalam surah al-Baqarah, iaitu:

Firman Allah maksudnya: "Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah:216)

Aku pegang pada ayat ini. Ayat ini telah membuka mata hati aku untuk mencari apa yang aku benci dahulu adalah apa yang aku lakukan sekarang. Aku mula muhasabah diri aku untuk mencari kekurangan yang ada dalam diri aku ini dan aku akan terus mengubah diri aku ke arah kebaikan. 


Sejak aku mendapat hidayah dari Allah ini, aku pasti tidak akan sia-siakan apa yang Allah berikan kepada aku. Aku takut Allah akan menarik semula hidayah ini dan aku kembali ke jalan yang sesat itu. Aku mula belajar membaca al-Quran yang telah lama aku tinggalkan. Daripada aku mengeja satu per satu huruf dalam al-Quran itu, akhirnya aku mula fasih membaca al-Quran. Alhamdulillah. Ya Allah, aku memang takkan sia-siakan segala pemberian Mu ini. Ya Allah, bukakanlah juga pintu hati umatMu yang lain. Janganlah Engkau sesatkan mereka. Amin.

Facebook          : https://www.facebook.com/SyazaIbrahim
Twitter                 : https://twitter.com/Syaza_Ibrahim
Blog                     : itsmejaja.blogspot.com
Google Plus        :  https://plus.google.com/u/0/+SyazaIbrahim/about

      

No comments:

Post a Comment