Thursday 9 January 2014

Apa yang penulis Kamalia ingin bercerita tentang novel umumnya, Dia Bukan Shah Rukh Khan.

DIAMBIL SEMULA DARIPADA FB PERIBADI KAMALIA.

Novel Dia Bukan Shah Rukh Khan merupakan novel solo ketiga saya. Sebelum ini saya telah menulis sebuah novel kanak-kanak, Si Cantik Cempaka dan sebuah novel dewasa/remaja, Gerabak Merah Jambu.

Ia bermula dengan pembacaan saya mengenai satu artikel mengenai kes-kes mengigau aneh yang pernah direkodkan dalam lipatan sejarah manusia. Pada mulanya saya membaca artikel tersebut sekadar suka-suka. Ternganga jugalah mulut saya apabila baru saya tahu yang ada juga kes mengigau sehingga melibatkan pembunuhan emak dan ayah mertua. Mungkin dendam kesumat di bawah sedar sampai terbunuh emak ayah mertua. Ada juga kes di mana seseorang itu mengigau sehingga boleh menghantar e-mel kepada kawan-kawannya. Maka, dengan itu saya tiba-tiba terfikir sesuatu. Kisah orang mengigau ini sangat menarik dan saya mahu mereka satu cerita mengenai penyakit yang saya kira agak biasa dalam kalangan manusia.

Namun, Dia Bukan Shah Rukh Khan lebih daripada itu. Ia bukan kisah orang yang mengigau semata-mata. Saya cuba membayangkan apa akan jadi kepada seseorang yang terlalu memendam rasa sehingga dia sendiri tanpa sedar mampu membuat sesuatu di luar normal. Ya, sama seperti kisah orang yang terbunuh ibu dan ayah mertuanya tanpa sedar itu. Judul asalnya, Kafe Cinta Mumbai kerana latar tempatnya di sebuah kafe yang apabila pelanggan masuk, akan terasalah aura Bollywood. Pemilik kedainya, Abang Zulkarnain telah membuka kafe ini khas untuk isterinya, Kak Norlaila yang meminati pelakon Bollywood,Jackie Shroff haha...

Judulnya kemudian ditukar kepada Dia Bukan Shah Rukh Khan dengan tagline Kafe Cinta Mumbai.
Syakila, Farhan, Selamat dan Ana merupakan penggerak utama dalam novel ini. Keempat-empat watak ini direka bukan saja-saja saya nak letakkan dalam ceritanya. Setiap watak, terutama empat watak utama ini merupakan kisah yang sebenarnya ada sekeliling kita dan berlaku di mana-mana saja.

Kisah Syakila yang memendam perasaan sehingga melakukan sesuatu di luar norma sekali gus membongkar satu rahsia. Saya sendiri berasa lucu dengan fiil Syakila yang entah apa-apa itu. Tapi, itulah penangan perasaan angau tanpa sedar. Aduhai.

Kisah Farhan yang berlagak maco ala-ala Shah Rukh Khan tapi dia tak sedar yang dia nampak poyo. Secara peribadi, saya suka dengan watak Farhan ini. Dia berkeyakinan tinggi dengan dirinya sendiri. Tidak ragu-ragu memberitahu apa yang dia rasa. Maknanya dia seorang yang berterus terang. Kalau dia suka, dia beritahu walau sering dikecewakan. Orang nampak dia macam okey, tapi dalam hatinya entah siapalah tahu perasaan sebenarnya.

Kisah Selamat yang menggelabah tak bertempat. Dia mengalami satu penyakit aneh yang sekali gus melucukan. Tapi, penyakit itulah yang menghantui dirinya sehingga dia hampir-hampir mahu bunuh diri. Namun, belum sempat dia merealisasikan niatnya itu, takdir telah menemukan dia dengan seseorang yang bakal mengubah hidupnya.

Kisah Ana yang kecewa dan terpaksa pula mengecewakan orang lain. Watak Ana ini sebenarnya dekat dengan saya dan kadang-kadang Ana ni saya rasa memang patut kena lempang. Nak tahu sebab apa, sila baca kisahnya dalam novel ini.

Dia Bukan Shah Rukh Khan mengambil masa lebih kurang setahun untuk disiapkan. Itu tak termasuk draf dalam kepala... hehe. Naskhah ini bagi saya lebih dekat dengan diri sendiri dan kisahnya mungkin lebih berat. Hampir pecah kepala jugalah nak mengarang novel ini. Itu belum kira saya pening dan geli tekak dengan beberapa bahagian cerita saya yang akhirnya terpaksa saya padam sebelum orang lain bakal termuntah hijau di atas novel saya nanti. Saya mengakui menghasilkan sebuah novel memang sesuatu yang memenatkan dan bukan perkara main-main.

Saya agak berpuas hati dengan penghasilan novel ini walaupun tidaklah sangat-sangat berpuas hati. Malangnya, tiada kisah kahwin paksa di sini sebab saya mengaku saya tak pandai tulis kisah kahwin-kahwin paksa dan kisah anak orang kaya. Kalau saya tulis, tulisan saya akan nampak tak berpijak di bumi yang nyata. Novel ni mungkin... mungkin berbeza sedikit dengan novel-novel Melayu yang lain.

Tapi, sekurang-kurangnya saya gembira kerana dapat sampaikan apa yang ingin saya sampaikan. Hidup ini penuh dengan harapan. Kemaafan itu sebenarnya menyejukkan hati dan meredakan kemarahan. Jadi, hidup mesti diteruskan. Selagi masih hidup, kita masih ada harapan.

Saya ingin ambil peluang ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penghasilan novel ini termasuk editornya, penyemak aksaranya, penata aksaranya, pereka kulit bukunya dan kepada semua yang mempromosi buku ini dari mula ia diuar-uarkan sehingga sekarang. Dan yang paling utama, kepada Allah yang beri pinjam ilham untuk menulis ini kepada saya dan juga keluarga terutama emak kesayangan yang setiap minggu bertanya dah siap ke tak manuskrip saya ni... hahaha.

Semoga kita semua mendapat manfaat daripada naskhah ini. Selamat membeli dan selamat membaca. Terima kasih. Wah... panjangnya nota ni!

Novel ini boleh didapati di semua rangkaian kedai MPH dan POPULAR seluruh negara. Jika ingin membeli secara atas talian, boleh klik link ini: www.jsadiwarna.com

Novel-novel lain Kamalia:







2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam,

    Kamalia ada gaya menulis yang tersendiri, saya selalu lihat bagaimana Kamalia semakin matang dalam penulisan melalui karya-karya terbaharunya. Bukan Shah Rukh, patut dibaca oleh mereka yang mahukan kelainan. Kamalia mengadun gaya kotemporari, selain mengekalkan pantun sebagai seni lama orang Melayu. Tahniah.

    ReplyDelete