Monday 14 July 2014

Mungkin Kisah Cinta Anda



 Assalamualaikum




Sebuah antologi cerpen Kerana Dia, Ratu Sehari memuatkan 40 buah cerpen yang dikarang oleh penulis-penulis yang terkenal dan penuh bakat. Antologi cerpen yang mengisarkan tentang kisah alam percintaan dan memasuki gerbang perkahwinan. 

Bermula dari kisah percintaan yang dimainkan oleh watak-watak yang menarik. Kisah di awal perkenalan, strategi dan idea yang dilakukan untuk menambat hati insan yang dicintai, bercinta selepas nikah, cinta kerana Allah swt, cinta kakak kepada adik, korban cinta demi orang yang tersayang, halangan percintaan, perbalahan antara keluarga, pendam cinta dan lain-lain lagi.

Kemudiannya, Noor Suraya memilih cerpen yang berkisarkan tentang kisah-kisah dan dilema ketika perkahwinan. Pertunangan yang tidak kesampaian, risikan, rombongan meminang, masalah mas kahwin, masalah di majlis perkahwinan seperti mak andam, dan baju pengantin, komplikasi yang dihadapi oleh watak-watak utama, ujian-ujian yang dihadapi semasa ingin mendirikan masjid dan bermacam lagi kisah menarik yang mampu membuatkan pembaca tersenym dan berfikir.

Seterusnya, Noor Suraya turut memilih cerpen yang menceritakan kisah di alam perkahwinan. Tingkah laku si isteri yang takut suaminya berkahwin lagi, serta kisah ketabahan wanita yang akan dimadukan.

Selain itu, terdapat sebuah kisah yang pada pengamatan saya amat menarik sekali hampir menyerupai salah satu kisah percintaan saya iaitu sebuah cerpen yang bertajuk  Perempuan Seperti Aku karya Rinzuas. Sebuah cerpen yang mengisahkan tentang 2 orang wanita yang akan dimadukan. Bagaimana tabahnya hati, iman dan keyakinan mereka kepada Allah swt tentang rancangan-Nya. Bagaimana Allah swt jadikan wanita itu lembut tetapi memiliki hati yang kuat. Kerana cinta mereka kepada Allah swt yang lebih besar telah menandingi cinta mereka kepada manusia. Kisah ini seharusnya dijadikan iktibar kepada semua kaum hawa. Kisah ini semestinya telah menimbulkan persoalan dan membuatkan saya berfikir. Adakah cinta dalam hati saya ini dimiliki oleh Allah swt ataupun hanya manusia bergelar lelaki sehingga mampu redha dengan setiap ketentuan dan percaturan-Nya?


Lebih banyak lagi kisah cinta yang indah-indah, lucu, duka, bahagia yang mampu membuat anda tertambat. 

 'Alangkah seronoknya jika kisah cinta indah ini seperti kisah cinta aku.'

 'Wah! seronoknya jadi watak dalam cerpen ni. Bahagia.'


Angan-angan jika disertakan dengan doa, boleh menjadi kenyataan.

Atau

Mungkin salah satu daripada kisah dalam antologi cerpen ini hampir serupa dengan kisah cinta yang pernah anda alami. Siapa tahu.



 By: Hana Adiwarna


No comments:

Post a Comment